Empat suspek ragut termasuk pelajar ditahan

Rakaman CCTV merekodkan detik seorang wanita diragut dua lelaki bermotosikal di sebuah pasar raya di Taman Saga, minggu lepas. Gambar kecil Mior Faridalthrash. FOTO: IHSAN PDRM
Rakaman CCTV merekodkan detik seorang wanita diragut dua lelaki bermotosikal di sebuah pasar raya di Taman Saga, minggu lepas. Gambar kecil Mior Faridalthrash. FOTO: IHSAN PDRM
A
A
A

ALOR SETAR - Empat lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 tahun ditahan selepas disyaki meragut beg tangan seorang wanita.

Kejadian berlaku di sebuah pasaraya di Taman Saga, di sini itu telah menyebabkan mangsa mengalami patah bahu kanan.

Dalam kejadian jam 2.40 petang pada 30 Disember lalu, seorang wanita terjatuh dan mengalami kecederaan hingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat diragut dua lelaki bermotosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, kesemua suspek berusia 16 hingga 33 tahun ditahan di lokasi berasingan sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan serbuan sebelum menahan suspek pertama di Kampung Tambak Bunga, Jalan Kilang Tebu, di sini.

"Susulan itu, polis menemui dan merampas telefon bimbit dan dua kad sim milik mangsa berusia 26 tahun yang dibeli lelaki itu daripada suspek utama.

"Kita membuat tangkapan kedua ke atas seorang suspek di Kampung Telok Kechai, di sini, dan merampas kemeja-T, seluar jeans, dua motosikal dan topi keledar," katanya.

Tangkapan ketiga dan keempat dibuat ke atas dua lagi suspek di Kampung Sawa Kechil dan di Kampung Tok Keling, Derga, di sini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, salah seorang suspek yang juga pelajar mengaku terbabit dalam kejadian ragut hingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa di hadapan pasaraya itu.

Menurutnya, seorang suspek dilepaskan dengan jaminan polis, sementara tiga lagi suspek direman bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Mior Faridalthrash berkata, siasatan mendapati suspek turut terlibat dalam beberapa siri kes ragut di bandaraya ini, dan memiliki enam rekod jenayah lampau dan dadah.

Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek terlibat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!