Ambil insurans jika bercuti ke Thailand
BANGKOK - Rakyat Malaysia yang melancong ke Thailand semasa cuti persekolahan dan musim perayaan tidak lama lagi digesa mengambil insurans perjalanan dan perubatan untuk mengelakkan membayar kos yang tinggi sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel menjangkakan ramai rakyat Malaysia akan melancong ke negara itu terutama di selatan Thailand semasa cuti Krismas dan Tahun Baharu tidak lama lagi.
“Kami nasihatkan rakyat Malaysia untuk lebih berhati-hati menjaga barangan peribadi terutamanya pasport.
“Dapatkan insurans perjalanan dan perubatan walaupun untuk tempoh percutian yang singkat ke Thailand. Mereka yang mempunyai keluarga besar boleh mengambil insurans berkelompok yang menawarkan perlindungan perubatan.
“Jangan ambil mudah perkara ini (insurans perubatan dan perjalanan). Kami tidak mahu mereka jatuh sakit tetapi selalunya, apa-apapun boleh berlaku. Terdapat kes rakyat Malaysia yang dimasukkan ke hospital,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Perhimpunan Akhir Tahun di Kedutaan Malaysia di sini.
Jojie juga menggesa rakyat Malaysia terutamanya mereka yang memandu ke selatan Thailand supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan memandu pada waktu malam.
Bagi mereka yang menyewa kereta untuk melakukan perjalanan di sini, beliau berkata pemandu harus pastikan kenderaan itu diinsuranskan sepenuhnya.
“Ambil insurans pihak pertama yang melindungi pemandu dan kenderaan serta individu lain yang terlibat dalam kemalangan. Pemandu Malaysia biasanya mengambil insurans pihak ketiga yang tidak melindungi mereka, hanya pihak lain. Ia hanya perlu buat penambahan sedikit, jadi adalah lebih baik ambil insurans pihak pertama,” katanya.
Sementara itu, Jojie juga menasihati rakyat Malaysia yang mengunjungi Thailand untuk mengetahui perkara yang boleh dilakukan dan dilarang di negara itu.
Bagi bantuan segera, pelancong Malaysia boleh menghubungi Hotline Polis Pelancongan Thailand di talian 1155 atau pergi ke Pusat Bantuan Pelancongan Thailand berhampiran.
Sekiranya berlaku kecemasan (selepas waktu pejabat) hubungi pegawai bertugas di kedutaan iaitu di talian: +668 7028 4659 dan alamat kedutaan adalah: 33-35 South Sathorn Road Tungmahamek, Sathorn Road, Bangkok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!