Kertas siasatan bayi dicucuh rokok lengkap
BATU GAJAH - Kertas siasatan kes bayi lelaki berusia setahun yang dipercayai didera oleh datuknya berikutan penemuan kesan cucuh puntung rokok telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan dan kini menunggu keputusan untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, siasatan terhadap lelaki berusia 47 tahun itu dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Bagaimanapun, keputusan laporan perubatan bayi itu masih belum diterima daripada pihak hospital.
"Kertas siasatan masih dalam pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya sebelum meneruskan pertuduhan," katanya.
Khamis lalu, seorang lelaki ditahan dipercayai mendera cucu lelakinya berikutan penemuan kesan kecederaan itu ketika mangsa mendapatkan suntikan imunisasi di Hospital Batu Gajah.
Berdasarkan siasatan, kecederaan itu berpunca daripada rokok yang terkena bahu sebelum jatuh terselit pada lampin yang dipakai mangsa ketika suspek menanggalkan pakaian bayi berkenaan kerana membuang air besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!