Pusat Khidmat Parlimen Langkawi santuni 115 pesakit di HSM
LANGKAWI - Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini menyantuni 115 orang pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di hospital tersebut hari ini.
Wakil peribadi kepada Ahli Parlimen Langkawi, Shukor Bahari berkata, program yang julung kali diadakan itu dilaksanakan secara 'ad hoc' bertujuan menyampaikan sumbangan berupa makanan, minuman dan buah-buahan kepada pesakit di wad kanak-kanak, wad wanita, wad lelaki serta wad bersalin di hospital tersebut.
"Selain menyampaikan sumbangan kepada pesakit, Program Prihatin Parlimen Langkawi juga bertujuan bertanya khabar serta melihat sendiri keadaan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di hospital ini.
"Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi banyak memberi sumbangan kepada masyarakat sekitar yang datang mendapatkan bantuan terus di pejabat, hari ini kita buat pendekatan berbeza dengan turun lihat sendiri keadaan pesakit di HSM kita tidak mahu mereka berasa dipinggirkan," katanya ketika ditemui selepas program tersebut.
Shukor berkata, melihat kepada reaksi positif pesakit yang amat gembira apabila menerima sumbangan yang diberikan, pihaknya tidak menolak kemungkinan menganjurkan lagi program yang sama di masa hadapan.
"Biasanya kita buat secara ‘ad hoc’ dan tidak uar-uarkan tetapi selepas ini mungkin kita buat enam bulan sekali atau lihat kepada kesesuaian masa," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!