Ibu bapa perlu sambut baik penggunaan CRS
Sejak kebelakangan ini, isu kerajaan yang mewajibkan pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak atau Child Restraint System (CRS) bermula tahun hadapan menjadi bahan bualan ramai terutamanya golongan ibu bapa.
Penggunaan CRS penting dalam membantu mengurangkan impak pelanggaran kepada penumpang kanak-kanak dan secara tidak langsung mengelakkan kecederaan parah atau kemalangan nyawa.
Kerusi keselamatan kanak-kanak yang akan digunakan di Malaysia pula perlu mengikut standard yang ditetapkan oleh United Nation Regulation iaitu R44 dan R129.
Ada juga dalam kalangan ibu bapa yang beranggapan penggunaan CRS yang khusus itu dikatakan agak mahal harganya dan ada yang kurang berkemampuan untuk membelinya.
Mereka berharap kerajaan dapat mencari langkah terbaik seperti memantau atau mengawal harga supaya tidak membebankan golongan ibu bapa.
Jika menjengah media sosial terutama di Instragram dan Facebook, rata-rata ibu bapa menjadikan platform tersebut sebagai medan luahan hati dengan memuat naik komen tentang fahaman masing-masing berkenaan isu tersebut.
Ada yang menyokong dan ada juga yang mengeluh dan mengecam tindakan pihak kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perubahan langkah baharu itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.
“Kita kehilangan satu nyawa dalam setiap 84 minit akibat nahas jalan raya. Kanak-kanak adalah golongan yang turut sama berada di atas jalan raya dan mereka juga terdedah kepada risiko yang tinggi dalam bentuk kecederaan sekiranya terbabit dalam nahas jalan raya.
“Justeru, penggunaan CSR mampu melindungi mereka daripada kecederaan parah. Kemudahan ini melindungi kanak-kanak di dalam kenderaan ketika berlakunya pelanggaran,” katanya.
Tambah Wan Azizah lagi, penggunaan CRS dalam kalangan negara maju adalah tidak asing bagi mengurangkan impak pelanggaran kepada penumpang kanak-kanak dan seterusnya mengelakkan kecederaan parah dan kematian.
Latih dari kecil
Bagi menjayakan usaha kerajaan itu, kita seharusnya menekankan penggunaan CRS kepada anak sejak lahir sebagai langkah keselamatan.
Ibu bapa perlu memastikan anak duduk di kerusi keselamatan kanak-kanak sebagai persediaan jika berlaku perkara yang tidak diingini.
Soal keselamatan si kecil perlu dititikberatkan dan menjadi hal yang perlu diutamakan oleh golongan ibu bapa.
Apabila memandu, kita sering melihat anak kecil melompat-lompat atau memanjat kerusi belakang kenderaan. Perkara itu pastinya mengundang bahaya dan mampu menyebabkan kematian jika berlaku kemalangan secara mengejut.
Bayangkan sekiranya kenderaan yang dipandu secara tiba-tiba berlaku kemalangan? Meskipun kanak-kanak atau bayi itu tidak tercampak keluar sekali pun, pasti tercedera akibat terjatuh atau terhentak kepala di dalam kenderaan.
Sekiranya dilatih dari kecil, anak tidak akan membantah dan melakukannya dengan rela untuk duduk sendiri di kerusi keselamatan tanpa banyak kerenah.
Apa yang penting, bayi dan kanak-kanak kecil mendapat perlindungan sewajarnya ketika duduk di dalam kenderaan bergerak dan tidak terdedah kepada kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.
Jika kita mahu perbaiki isu mengenai keselamatan jalan raya, kita juga perlu serius dan menyambut baik mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil bagi memastikan keselamatan penumpang di dalam kenderaan.Memang diakui jodoh, maut semuanya terletak di tangan Tuhan namun kita sebagai manusia perlu berikhtiar terlebih dahulu sebelum berserah kepada ALLAH SWT.
Di peringkat kerajaan, selain mempertimbangkan cadangan untuk menggunakan semula kerusi keselamatan kanak-kanak terpakai untuk meringankan keluarga kurang berkemampuan, mungkin kerajaan juga boleh memperkenalkan rebat pembelian unit keselamatan itu.
Dengan cara itu, ia sedikit sebanyak dapat membantu semua golongan ibu bapa dalam menyediakan kerusi keselamatan kanak-kanak yang lebih berkualiti kepada anak mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!