Sukan rakyat jadi tarikan pelancongan
KUALA PILAH - Negeri Sembilan akan memperkasakan sektor pelancongan negeri dengan menjadikan sukan rakyat sebagai salah satu produk utama.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, acara tersebut mampu memberi impak positif dalam mengukuhkan lagi sektor pelancongan.
"Sebagai contoh, pertandingan bola sepak sawah, merupakan sukan tradisional yang berteraskan budaya dan kehidupan masyarakat desa suatu ketika dahulu itu perlu terus diketengahkan termasuk kepada golongan muda.
"Selain itu, pertandingan mengoca (menangkap) ikan, panjat tiang licin, tangkap itik dalam petak sawah, basikal titi, baling tin dan sebagainya hampir pupus kerana tidak dimainkan atau dipraktikkan masa sekarang," katanya selepas selesai majlis perasmian Pesta Bola Ngoca di Empang Bangkung, Juasseh di sini Sabtu lalu.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik dan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh.
Aminuddin berkata, acara sukan itu sekali gus dapat memperkenalkan budaya masyarakat negeri ini kepada generasi baharu serta pengunjung dari dalam dan luar negara.
"Masyarakat setempat juga dapat menjana ekonomi melalui program pelancongan ini," katanya.
Terdahulu, sebanyak 128 pasukan menyertai perlawanan bola sepak sawah yang mana lebih 30 pasukan adalah pasukan dari luar Negeri Sembilan.
Selain pertandingan bola sepak dan mengoca ikan, turut diadakan pertandingan panjat tiang licin dan pertandingan tangkap itik dalam petak sawah.
Pesta Bola Ngoca 2019 yang dianjurkan kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini.
Majlis penutup dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith.
Johan bagi pertandingan bola sepak sawah dimenangi oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan (JBPMNS) yang membawa pulang wang RM10,000, kedua Veteran DBKL dengan wang tunai RM7,000 dan ketiga Baling FC membawa wang tunai RM5,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!