Berat melepaskan, tapi demi masa depan
GOMBAK - "Berat hati nak lepaskan dia belajar jauh-jauh, tapi demi masa depannya saya relakan...," luah seorang ibu, Che Esah Mohamad,50, yang menghantar anaknya ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak bagi sesi kemasukan tingkatan satu, pagi tadi.
Che Esah dari Pengkalan Kubor Kelantan berkata, dia meminta anak keempatnya, Nurhanani Razak,13, untuk menyambung pelajaran di sekolah sekitar Kelantan sahaja.
Namun, selepas dinasihati dan diberi galakan keluarga, dia akur dan berharap anaknya yang peroleh 6A dalam UPSR mampu meneruskan kecemerlangan.
"Saya kata pada dia (Nurhanani) tak payah sekolah jauh, saya tak ada duit... tapi selepas dipujuk anak-anak yang lain termasuk makciknya yang berada di Gombak, saya lepaskan dia.
"Saya tak mampu kerana tak ada kerja tetap, kos daftar dan belanja sekolah pun makciknya yang uruskan," katanya sambil mengesat air mata kesedihan.
Dia ditemui ketika tinjauan hari pertama pendaftaran pelajar B40 SBPI Gombak oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pendidikan, Aidie Jantan.
Che Esah berkata, Nurhanani turut mempunyai kembar namun belajar di sekolah harian di Taman Melawati dan tinggal bersama makciknya di Gombak.
"Mereka kembar dan tidak biasa berjauhan, walaupun tak sama sekolah, tapi bila dekat mereka boleh berjumpa pada hujung minggu.
"Saya harap Nurhanani dapat gunakan peluang yang ada untuk belajar dan berdikari. Tak semua dapat peluang belajar di sekolah yang baik, harap dia dapat ubah nasib keluarga," katanya.
Sementara itu, Nurhanani yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah gembira selepas terpilih memasuki SBPI, sekolah yang memberikan kemudahan serba lengkap dan terkini dalam pembelajaran.
"Saya tak kisah bersekolah di mana-mana tapi lepas diterima masuk, saya gembira dan bersyukur. Saya janji akan belajar bersungguh-sungguh untuk bantu keluarga," katanya.
Sementara itu, Aidie berkata, seramai 52.28 peratus atau 4,888 calon dari keluarga B40 ditempatkan di sekolah berasrama penuh seluruh negara bagi sesi persekolahan 2019.
"Jumlah itu meningkat 15.34 peratus dari tahun sebelumnya selari dengan dasar kerajaan baharu membantu golongan kurang berkemampuan (B40) yang cemerlang akademik dan kokurikulum memperolehi pendidikan berkualiti dan kondusif.
"Kementerian akan menyediakan bantuan bagi bayaran makanan asrama, pakaian dan keperluan sekolah serta biasiswa dari syarikat korporat dan kerajaan bagi yang layak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!