Papan tanda Taman Tasik Titiwangsa diconteng
KUALA LUMPUR - Tidak sampai 12 jam dibuka kepada orang awam sudah terdapat vandalisme di Taman Tasik Titiwangsa di sini apabila papan tanda ditemui diconteng semalam.
Kejadian itu dikongsikan seorang pengguna laman sosial Facebook, Noor Fazlina Rosley yang kemudiannya dikongsi semula di Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada jam 6.47 petang.
Noor Fazlina dalam status Facebooknya menyenaraikan tiga perubahan di Taman Tasik Titiwangsa selepas lima jam dibuka.
"Mohon viralkan, baru lima jam dibuka, vandalisme di papan tanda, buang sampah merata2 (tapi kenapa ya, kalau pergi ke taman-taman di luar negara, kita pandai pula jaga kebersihan?) dan penggunaan basikal melalui operator tak berlesen.
"Sudahlah guna operator basikal tak berlesen, ada percubaan nak naik ke atas pejalan kaki (warna kelabu) pula tu," tulisnya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika diminta mengulas berkenaan isu itu berkata, ia berkait dengan sikap dan tingkah laku warga kota.
"Saya nasihatkan pengguna bersama-sama menjaga harta awam. DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) mahukan 'smart people', bukan 'smart city'.
"DBKL melalui jabatan komuniti sedang merancang dan melaksanakan program dan aktiviti kesedaran 'KL Kita Punya Bersama'," katanya.
Taman Tasik Titiwangka diserbu orang awam pada hari pembukaannya semalam selepas ditutup lebih setahun untuk kerja naik taraf dan sebahagian projek River of Life.
Wajah baharu taman awam itu menerima reaksi positif daripada orang awam terutama membabitkan pembukaan zon baharu taman permainan air untuk kanak-kanak.
Antara naik taraf yang dilakukan termasuk penggantian papan tanda dan alat senaman, laluan pejalan kaki dan pemasangan litar kamera tertutup (CCTV) serta pengindahan landskap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!