Jenayah online: 152 warga China, seorang Bangladesh didakwa

Seramai 152 warga China dan seorang Bangladesh yang ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan berada di negara ini tanpa pas yang sah serta tinggal lebih masa.
 Foto: Bernama
Seramai 152 warga China dan seorang Bangladesh yang ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan berada di negara ini tanpa pas yang sah serta tinggal lebih masa.
 Foto: Bernama
A
A
A

SEPANG - Seramai 152 warga China dan seorang warga Bangladesh yang ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan di premis disyaki menjalankan aktiviti jenayah dalam talian di Cyberjaya pada 20 November lepas didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, di sini hari ini.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 130 lelaki dan 23 perempuan berumur antara 19 hingga 34 tahun itu berdepan pertuduhan berada di negara ini tanpa pas yang sah serta tinggal lebih masa.

Warga China yang didakwa hari ini adalah kumpulan kedua yang dihadapkan ke mahkamah, selepas kumpulan pertama iaitu 373 orang didakwa atas pertuduhan memasuki dan berada di negara ini tanpa pas sah pada Jumaat lepas.

Pertuduhan terhadap kesemua mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin dan bahasa Melayu oleh tiga jurubahasa dari Jabatan Imigresen Malaysia.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah yang berlangsung kira-kira satu jam setengah itu, kesemua 153 tertuduh mengaku bersalah dengan dikenakan denda serta hukuman penjara.

Seramai 102 daripada mereka didakwa mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen dan dikenakan denda RM5,000 setiap seorang, manakala baki 51 orang dituduh mengikut Seksyen 15(4) akta yang sama iaitu tinggal melebihi tempoh dibenarkan antara tiga hingga 45 hari.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(4) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak kurang RM10,000, mahkamah menetapkan denda RM15,000 seorang dengan 50 daripadanya memilih membayar denda dan seorang lagi mohon dipenjara.

Sebanyak 152 tertuduh pula memilih untuk membayar denda yang dikenakan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dilakukan oleh pasukan pendakwa Imigresen diketuai Pegawai Pendakwa, V Kasthuri Bai.

Kesemua mereka tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 7.30 pagi dan dibawa masuk ke bilik mahkamah untuk dibacakan pertuduhan secara berperingkat membabitkan 40 orang dalam setiap kumpulan.

Pada 20 November lepas, Jabatan Imigresen menyerbu sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya kerana disyaki menempatkan ahli sindiket penipuan dalam talian, di mana 680 warga China ditahan, manakala lebih 100 orang lagi melarikan diri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!