'Saya hanya jalankan tugas': ADUN Bayan Lepas

Azrul (dua dari kiri) merasmikan lampu isyarat lintasan pejalan kaki SK Teluk Kumbar semalam.
Azrul (dua dari kiri) merasmikan lampu isyarat lintasan pejalan kaki SK Teluk Kumbar semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Tidak ada masalah bagi saya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz mengenai tindakannya merasmikan lampu isyarat pejalan kaki di Teluk Kumbar, Bayan Lepas semalam.

Menurutnya, beliau hanya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan mengambil berat tentang masalah rakyat di kawasannya.

Azrul berkata, perasmian lampu isyarat lintasan pejalan kaki di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kumbar itu adalah salah satu usahanya dalam memenuhi kehendak rakyat yang memerlukan kemudahan tersebut.

"Permohonan saya sebagai ADUN telah bangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Barat Daya (JKTD) pada awal tahun ini setelah mendengar keluhan ibu bapa yang risau dengan keselamatan anak-anak mereka ketika pergi dan balik sekolah.

"Masalah itu telah berlarutan sehingga 15 tahun walaupun PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dikatakan membuat permohonan namun tidak dipertimbangkan. Masalah itu akhirnya selesai selepas permohonan saya diluluskan dengan kos RM265,000 termasuk menaik taraf bahu jalan dan jalan raya di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Menurutnya, beliau tidak kisah sekiranya usahanya itu menjadi bahan jenaka pihak lain di media sosial.

"Saya bertindak selepas menerima aduan. Saya berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat terutamanya yang berkaitan keselamatan orang ramai. Saya bersyukur kerana usaha ini akhirnya terlaksana. Perasmian semalam dibuat bersama penduduk dan perkara yang perlu diberi perhatian adalah lintasan pejalan kaki.

"Bagaimanapun, ada pihak yang cuba mengalihkan isu seolah-olah perasmian semalam hanya lampu isyarat sahaja. Saya tak kisah apa orang nak kata, yang penting saya membantu rakyat. Dahulu ketika menjadi Pegawai Penyelaras Kadun Bayan Lepas, saya ada mohon lampu isyarat di Teluk Kumbar dan berjaya. Saya tak buat perasmian pun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Azrul berkata, pihak yang mempersendakan tindakannya itu termasuk pihak pembangkang berkemungkinan tidak mendapat maklumat penuh mengenai program tersebut.

"Bagi saya, siapa nak 'troll' pun bukan masalah bagi saya. Mungkin mereka tidak dapat maklumat yang cukup. Apa yang penting semalam saya tidur lena, puas hati dengan apa yang saya dapat sumbangkan kepada masyarakat. Tugas wakil rakyat bukan hanya merasmikan program sahaja tetapi respon kehendak rakyat.

"Ketika mereka berkuasa dahulu tidak mampu buat, kita sebagai wakil rakyat yang baru akan buat yang terbaik. Gimik perasmian adalah perkara biasa bagi wakil rakyat tetapi sejauh manakah peranan yang dimainkan? Kerajaan dulu rasmi titi kecil pun potong riben. Tidak pula pembangkang ketika itu menjadikannya sebagai isu. Perasmian semalam, tak ada potong riben, pasang bunga api pun," katanya.

Program yang dihadiri Azrul menjadi bahan jenaka di laman sosial sejak ia tular semalam.
Program yang dihadiri Azrul menjadi bahan jenaka di laman sosial sejak ia tular semalam.

Beliau berkata, pihak pembangkang perlu mengutarakan pendapat yang membina selain bertanggungjawab membina negara bersama-sama kerajaan.

"Nasihat saya, jadilah pembangkang yang membina dan bertanggungjawab membina negara bersama-sama kerajaan.

"Ramai yang silap perkiraan dengan meletakkan pembangkang hanya untuk membangkang sahaja. Ambillah contoh yang baik (politik) di negara-negara maju," katanya.

Terdahulu, program perasmian lampu isyarat pejalan kaki di Teluk Kumbar yang disempurnakan Azrul menjadi bahan jenaka di laman sosial.

Ramai warganet termasuk pihak pembangkang mentertawakannya selain menyifatkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) tidak ada kerja kerana terlibat dengan projek kecil di kawasan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!