Penduduk kampung sudah jangka banjir akan berlaku

Sebahagian mangsa banjir bergotong-royong memasak juadah tengahari
Sebahagian mangsa banjir bergotong-royong memasak juadah tengahari
A
A
A

ROMPIN - Mangsa banjir dari Kampung Kesing di sini sudah menjangka banjir akan melanda kampung mereka berikutan ia kejadian biasa berlaku saban tahun.

Salah seorang mangsa, Mohd Azrizal Abdul Manaf, 38, berkata, walaupun sudah meramalkan keadaan itu berlaku, namun tidak menyangka keadaannya lebih teruk kali ini.

Menurutnya, dia dan isteri serta dua anak berusia 5 tahun dan 11 bulan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Kampung Pianggu, Sabtu lalu selepas kawasan rumah dinaiki air sedalam kira-kira 1.5 meter.

"Air dah mula melimpah kira-kira jam 12 tengah malam, bagaimanapun jam 3 pagi tadi, air naik mendadak dan mula masuk ke dalam rumah.

"Pada mulanya kami berpindah ke dewan Kampung Pianggu, namun terpaksa berpindah ke SK Kampung Pianggu selepas bilangan mangsa agak ramai," katanya ketika ditemui di PPS SK Pianggu di sini hari ini.

Mengulas situasi terkini, Mohd Azrizal berkata, keadaan air mulai surut ekoran cuaca agak baik hari ini, bagaimanapun air masih bertakung di sesetengah kawasan.

Keadaan mangsa di pusat pemindahan banjir.
Keadaan mangsa di pusat pemindahan banjir.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg Pianggu, Rani Osman, 39, berkata, dalam kejadian banjir sebelum ini, bilangan keluarga yang terjejas di kampung itu dan kampung-kampung sekitar hanya bawah 20 keluarga.

Artikel Berkaitan:

Berbeza kali ini katanya, keluarga terjejas melebihi 80 keluarga melibatkan 284 mangsa.

"Banjir dipercayai berlaku akibat limpahan air sungai dan air dari kawasan ladang berhampiran dan diburukkan lagi dengan fenomena air laut pasang.

"Alhamdulillah, semua mangsa yang berada di pusat pemindahan ini mendapat perhatian pelbagai pihak dengan keperluan yang disediakan mencukupi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!