Wanita cedera ditumbuk, diugut akan dibunuh bekas teman lelaki
KEMAMAN - Seorang wanita bukan sahaja cedera akibat ditumbuk, malah turut diugut bunuh bekas teman lelakinya, dalam kejadian di sebuah hotel di Chukai, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, mangsa, 22, juga terpaksa menanggung kerugian apabila telefon bimbitnya dilarikan suspek berusia 25 tahun.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, mangsa yang ketika itu berada di tempat kerjanya dikejutkan dengan kehadiran suspek dalam keadaan marah-marah, sebelum dikatakan menarik baju mangsa sebelum menumbuk bekas teman wanitanya, selain turut mengambil telefon bimbit milik wanita itu.
"Sebelum beredar, suspek mengugut akan mencederakan mangsa selepas waktu bekerja. Bimbang keselamatan diri, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chukai untuk tindakan lanjut.
"Mangsa mendakwa suspek sebelum ini pernah memukul dan mengugut akan mencederakan serta membunuhnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Susulan itu katanya, suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!