Belanjawan 2020: DBKL peruntuk RM2.9 bilion
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) peruntukan RM2.9 bilion bagi Belanjawan DBKL 2020 yang diumumkan hari ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, ia melibatkan pecahan 61.5 peratus atau RM1. 8 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan 38.5 peratus atau RM1.1 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Menurutnya, DBKL menyasarkan hasil bagi tahun depan berjumlah RM2.5 bilion meningkat sebanyak 2.3 peratus berbanding RM2.4 bilion pada tahun ini.
"Hasil itu tidak termasuk terimaan dari kerajaan dan lain-lain untuk membiayai projek pembangunan berjumlah RM449 juta.
"Hasil utama DBKL adalah daripada hasil cukai taksiran berjumlah RM1.24 bilion yang menyumbang sebanyak 49.1 peratus daripada hasil keseluruhan DBKL," katanya pada ucapan Bajet 2020 DBKL di Menara DBKL hari ini.
Beliau berkata, bertemakan Bandar Raya Ceria, Kemakmuran Bersama, beberapa pembangunan kemudahan infrastruktur diperuntukkan pada Bajet DBKL 2020.
"Antaranya RM661 juta bagi 73 projek jalan, cerun dan saliran; RM20 juta perkhidmatan GoKL; RM26. 5 juta sewaan peralatan Integrated Transport Information System (ITIS) termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan Sistem Pemantauan Vesel (VMS)
"Sebanyak RM7. 5 juta diperuntukkan untuk baik pulih dan naik taraf bangunan warisan termasuk bangunan Sultan Abdul Samad dan panggung bandaraya sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya.
Katanya, DBKL meneruskan projek pembangunan semula Jalan Raja Bot dengan kos keseluruhan RM142. 8 juta bagi meningkatkan ekonomi penjaja dijangka siap 2022.
"Selain itu, kawasan sekitar Wisma Yakin sedang dibaik pulih untuk projek River of Life bertujuan meningkatkan nilai komersil di tahap yang tinggi.
"Bagi penjaja kawasan Selayang, DBKL sedang melaksanakan pembangunan Pasar Harian Selayang menempatkan 754 tapak niaga dengan peruntukan berjumlah RM28 juta bagi tahun 2020," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!