Penyeliaan TH kini lebih terperinci
SEJAK ditubuhkan pada 1963, Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai sebuah institusi kewangan Islam begitu banyak berjasa dalam memberikan perkhidmatannya kepada ramai jemaah haji Malaysia.
Kini setelah 56 tahun, TH yang dahulunya hanya sebuah organisasi kecil sudah berkembang menjadi sebuah pertubuhan yang besar dan gah.
Dengan jumlah tabungan sebanyak RM70 bilion dan 9.4 juta pendeposit, TH terus komited dalam memperkukuhkan lagi ‘harta’ umat Islam di negara ini supaya mampu diwariskan kepada generasi akan datang.
Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Hidayah Hairom di Kuala Lumpur baru-baru ini bersama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff bagi mengetahui strategi dan hala tuju organisasi itu untuk terus kukuh serta berkembang.
TH amat sinonim dengan tabungan dan pengurusan haji bagi umat Islam di negara ini sejak lebih 56 tahun. Apakah matlamat TH?
NIK MOHD HASYUDEEN: Kita ada tabung dan haji. Apabila orang bercerita tentang TH, sentiasa ada tabung dan haji. Jarang kita bincangkan TH secara bersepadu. Sebab duit yang kita dapat daripada simpanan jemaah ini, kita akan laburkan.
Daripada pelaburan, kita akan dapat keuntungan dan daripada keuntungan ini, yang pertama kita guna untuk bayar operasi TH iaitu 125 cawangan seluruh Malaysia.
Sebahagian daripada keuntungan dibahagikan untuk operasi haji. Contohnya, untuk 2019 secara langsung kita tampung RM300 juta dan kita juga ada kos tidak langsung iaitu perubatan dan kursus haji misalnya.
Kemudian kita bayar zakat untuk pendeposit. Selebihnya itu baru kita pulangkan dalam bentuk hibah. Jadi kalau kita memahami proses ini, kita hanya perlu mengimbangkan dari segi pulangan kepada pendeposit.
Kalau kita ada tadbir urus dari segi semak dan imbang serta sebagainya, kita akan menjadi sebuah institusi yang lebih kukuh.
Sebab itu kita perlu melabur pada sumber manusia sebagai satu perkara penting. Antara program yang kita laksanakan adalah melahirkan profesional mukmin.
Kita mahu menjadikan mereka bukan hanya profesional tetapi pada masa sama bekerja dengan ikhlas kerana kita melakukan kerja yang besar.
Apakah perancangan TH dalam mentadbir dan menjadikan TH sebagai sebuah institusi Islam yang dihormati dan disegani di dalam serta luar negara?
NIK MOHD HASYUDEEN: Kita sekarang fokus untuk menjadikan TH sebagai sebuah institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus. Ini penting kerana mahu tidak mahu, TH adalah sebuah institusi Islam. Kita mentadbir tabungan orang-orang yang hendak mengerjakan haji, maka ia satu perkara yang kita tidak boleh lari.
Justeru, duit yang kita terima adalah duit yang berkaitan dengan agama, jadi kita kena menghormati mandat kita dan TH perlu menjadi sebuah institusi yang orang Islam boleh banggakan. Bagaimana ingin mencapainya adalah dengan memperkukuhkan prestasi. Prestasi ini ada dalam pelbagai dimensi.
Bolehkah dijelaskan lebih lanjut mengenai langkah pengukuhan yang dirangka oleh TH?
NIK MOHD HASYUDEEN: Enam perkara menjadi fokus TH untuk tujuan pengukuhan iaitu dari segi tadbir urus, pengurusan deposit, pengurusan haji, sumber manusia, operasi dengan cekap dan usaha bagi memastikan anak-anak syarikat dapat menyumbang lebih banyak kepada masyarakat.
Oleh kerana TH mempunyai RM70 bilion, kita melabur dan salah satu daripada pelaburan yang penting adalah pelaburan strategik khususnya dalam anak-anak syarikat seperti Bank Islam, syarikat takaful, TH Travel dan banyak lagi.
Jadi apa yang akan kami tekankan untuk masa depan adalah untuk memperkukuhkan lagi anak-anak syarikat ini kerana ia penting dari segi memperkukuhkan ekonomi umat Islam dan memperkukuhkan ekonomi halal.
Insya-ALLAH semua anak syarikat ini akan diselia dengan lebih terperinci supaya masyarakat akan lebih terkesan, di mana dengan anak-anak syarikat ini, kita cuba untuk menyebarkan manfaat hasil daripada tabungan di TH ini kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Kalau dari segi pentadbiran pendeposit, pentadbiran haji dan tadbir urus, kita fokus kepada sumber manusia kita iaitu operasi yang cekap dan pengukuhan syarikat-syarikat strategik dan anak-anak syarikat.
Dari segi pengambilalihan dan penstrukturan semula pentadbiran TH, adakah ia bermakna penukaran haluan dan aliran pelaburan TH?
NIK MOHD HASYUDEEN: Apa yang kita cuba dilakukan sekarang ialah kita cuba melabur dengan cara pulangan yang lebih stabil kerana suasana pelaburan sekarang penuh cabaran.
Sebab itu kita melabur dalam aset-aset yang berpendapatan tetap seperti hartanah dengan lebih banyak berbanding pelaburan dalam saham atau ekuiti. Sebahagian besar daripada pelaburan kita adalah dalam pulangan tetap.
TH mentadbir aset. Bukan sekadar kita beli dan kita simpan tetapi adakalanya kita beli dan ada aset yang kita simpan untuk jangka panjang. Ada yang mungkin kita ingin mendapatkan dividen.
Bagaimanapun, ada juga yang dilaburkan untuk jangka masa sederhana. Bila dapat keuntungan yang kita sasarkan, kita boleh jual. Bila kita jual, kita akan beli aset lain pula.
Bila orang tanya berapa banyak kita jual, orang lupa nak tanya lepas jual beli apa. Seolah-olah kerja kita menjual aset sahaja.
Kita jual sama ada kita labur balik atau kita beli aset yang lebih bagus. Sebab kaedah pelaburan ini kita perlu melihat ke hadapan setahun, dua tahun, tiga tahun.
Apakah konsep kontrak simpanan ‘Wadiah Yad Dhamanah’ yang ditukarkan kepada ‘Wakalah’ berkuat kuasa 31 Disember ini?
NIK MOHD HASYUDEEN: TH ialah institusi Islam, justeru apabila ingin berinteraksi dengan pendeposit, kita perlu mengikut kaedah syariah.
Jadi dari segi syariah, 'Wakalah' memberi ruang kepada TH untuk memberi pulangan yang lebih selain daripada hibah.
Dengan 'Wakalah' ini kita boleh tawarkan kepada pendeposit untuk mendapatkan potongan harga daripada anak-anak syarikat TH.
Pada masa sama, tiada sebarang risiko penurunan jumlah tabungan kerana konsepnya kita ingin menawarkan lebih kepada pendeposit selain daripada hibah.
'Wakalah' ini merupakan hubungan pelaburan, jadi kita tiada masalah untuk memberi pulangan.
TH juga ingin memastikan pelaburan yang dibuat sesuai dengan ESG (Environment, Social and Goverment).
Apakah persepsi masyarakat terhadap TH pada masa ini?
NIK MOHD HASYUDEEN: Persepsi adalah perkara yang sukar untuk kita jangka. Bagaimanapun, melihat dari segi jumlah pendeposit baharu, akaun baharu meningkat sebanyak 260,000 pada tahun ini.
Dengan peningkatan ini maknanya mereka yakin dengan TH dan kami dapat melaksanakan mandat. Kerana itu kami mahu
cuba tambah baik. Maknanya apabila letak duit di TH, ada dua tiga perkara yang kita boleh tambahkan (tabungan).
Bagaimanakah dengan prestasi semasa TH dan adakah TH yakin mampu memberikan pulangan lebih baik kepada pendeposit berbanding tahun lalu?
NIK MOHD HASYUDEEN: Prestasi kita di landasan yang betul. Kita positif untuk tempoh tiga minggu lagi. Kita berdoa agar kita dapat tutup tahun ini dengan prestasi lebih baik berbanding tahun lepas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!