Jamal batal hasrat kaveat bangunan UMNO Selangor
SHAH ALAM - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos membatalkan hasratnya untuk membuat permohonan kaveat terhadap bangunan UMNO Selangor.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama ketua-ketua UMNO bahagian Selangor dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Beliau berkata, Noh turut mendesak agar pengurusan UMNO Selangor mengadakan mesyuarat bersama ketua-ketua bahagian di negeri ini dengan kadar segera bagi membincangkan mengenai isu itu.
"Saya harap pihak pengurusan dapat segera mengadakan mesyuarat itu pada tarikh yang saya tidak terlibat dengan apa-apa kes perbicaraan.
"Ini kerana, sebelum ini saya tidak hadir ke beberapa mesyuarat yang diadakan kerana kes perbicaraan saya sedang dijalankan," katanya dalam satu kiriman rekod suara hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Jamal bantah jual bangunan UMNO Selangor
Sebelum ini, Jamal memaklumkan akan membuat permohonan kaveat berkenaan di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada jam 10 pagi, esok.
Langkah bagi membuat permohonan kaveat berkenaan dibuat sebagai bantahan terhadap cadangan pimpinan tertinggi parti itu di peringkat negeri yang berhasrat untuk menjual bangunan UMNO Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!