Pusat pengumpulan bantuan banjir Gombak dibuka

Muhammad Azwan (kiri) menerima lawatan dari Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang melawat pusat pengumpulan barang bantuan banjir di Seri Gombak.
Muhammad Azwan (kiri) menerima lawatan dari Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang melawat pusat pengumpulan barang bantuan banjir di Seri Gombak.
A
A
A

GOMBAK - Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor membuka pusat pengumpulan bantuan banjir Pantai Timur di Seri Gombak berhampiran Restoran Taqwa di sini sejak Jumaat lalu.

Pengarah Logistik Jawatankuasa Bertindak Bantuan Banjir Peringkat Selangor, Muhammad Azwan Mohd Kamaruzaman berkata, sebanyak tiga khemah disediakan bagi menempatkan dan mengumpul barang bantuan.

Menurutnya, jangkaan tempoh operasi pusat pengumpulan ini dibuka adalah sehingga 31 Disember bergantung kepada situasi semasa banjir.

"Antara barangan diperlukan adalah makanan, minuman dan keperluan harian untuk kanak-kanak dan dewasa. Sumbangan pakaian tidak diperlukan lagi buat masa ini.

"Sehingga kelmarin, beberapa sumbangan telah berjaya dikumpulkan termasuk dua tan beras," katanya.

Selain itu katanya, pihaknya turut mengalu-alukan petugas dan sukarelawan turut serta di lokasi pengumpulan barangan bagi menghulurkan bantuan tenaga.

Dijangka sumbangan bantuan ke Kelantan akan dihantar hujung minggu ini sementara bantuan awal menerusi pasukan operasi pertama ke Johor pula akan bertolak malam ini.

Terdahulu, Pas mengambil inisiatif membuka pusat pengumpulan barangan bantuan di beberapa lokasi strategik bagi meringankan mangsa banjir di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!