Bayi jatuh katil: Pengasuh diberi kepercayaan oleh keluarga mangsa
IPOH - Pengasuh yang terlibat dalam kes kematian seorang bayi perempuan berusia lapan bulan, Sabtu lepas tidak tertakluk di bawah syarat mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengarah JKM Perak, Ruhaini Zawawi berkata, siasatan mendapati wanita berkenaan hanya menjaga bayi itu berdasarkan kepercayaan diberikan pihak keluarga.
"Rumah itu tidak dijadikan pusat jagaan malah tiada kanak-kanak lain yang dihantar di situ.
"Ianya lebih kepada kepercayaan pihak keluarga bayi yang meminta pengasuh tersebut untuk menjaga anak mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Semalam Sinar Harian melaporkan, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas terjatuh dari katil di rumah pengasuhnya di Jalan Pasir Pinji di sini.
Mangsa ditemui dalam keadaan tertonggeng dengan kepala berada dalam sebuah tong sampah di tepi katil berkenaan oleh pengasuhnya, seorang wanita berusia 24 tahun sekitar jam 6.15 petang.
Ketika kejadian mangsa yang baharu pandai merangkak ditinggalkan tidur di katil itu sendirian dengan dikelilingi bantal tinggi sebagai benteng sejak jam 5 petang.
Bayi terbabit telah diasuh di rumah itu sejak berusia 30 hari oleh wanita itu bersama ibunya berusia 45 tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Bayi lapan bulan maut jatuh katil
Mengulas lanjut, Ruhaini berkata, kematian bayi itu telah diklasifikasikan pihak berkuasa sebagai lemas dan tidak melibatkan sebarang penderaan.
"Siasatan kes dilakukan oleh polis dan JKM akan membantu mana-mana berkaitan sekiranya diperlukan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mendapatkan tahanan reman terhadap pengasuh berkenaan esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!