Beg berisi wang RM231,000 diragut depan bank
GEORGETOWN - Dua lelaki melarikan sebuah beg mengandungi wang tunai RM231,000 di hadapan sebuah bank berhampiran Masjid Sungai Nibong Kecil, Bukit Jambul di sini pagi tadi.
Ketua Polis Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian jam 10.51 pagi itu, wang tersebut dibawa tiga pekerja sebuah syarikat keselamatan menggunakan sebuah van ke bank tersebut.
Menurutnya, kejadian ragut itu berlaku semasa salah seorang pekerja syarikat keselamatan tersebut mengeluarkan beg berisi wang tunai untuk dibawa masuk ke dalam bank.
"Ketika kejadian, tiga kakitangan syarikat keselamatan itu berada dalam van iaitu pemandu van, pengawal dan penghantar. Mereka baru mengambil wang itu dari sebuah pasar raya berdekatan untuk dimasukkan ke dalam bank tersebut.
"Kejadian samun itu berlaku semasa penghantar mengeluarkan wang dari van tersebut yang mana, dua beg dipegang manakala sebuah beg lagi digalas.
"Bagaimanapun, suspek yang datang dari belakang telah meragut salah satu beg yang dipegang di tangan kiri penghantar tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, penghantar tersebut cuba melawan, namun dipukul di muka dengan menggunakan senjata menyerupai pistol.
"Apabila pemandu van melihat kejadian itu, dia telah mengambil senjata di dalam van lalu memberikan senjata kepada pengawal keselamatan.
"Pengawal keselamatan itu cuba mengejar suspek namun gagal. Suspek dilihat melarikan diri melalui tangga di hadapan bank tersebut. Dia berlari menuju ke sebuah motosikal yang ditunggang seorang lagi suspek lalu melarikan diri.
"Maklumat dari orang awam yang melihat kejadian itu menyatakan terdapat dua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal Y110 dengan nombor plat BEY408," katanya.
Soffian berkata, hasil semakan mendapati motosikal tersebut dilaporkan hilang di Subang Jaya, Selangor.
"Polis sedang giat memburu suspek yang dipercayai masih berada di negeri ini.
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian menunjukkan seorang lelaki telah meragut beg dari penghantar berhampiran van syarikat keselamatan di hadapan bank tersebut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata," katanya.
Terdahulu, beberapa kawasan antara Greenlane, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Jambatan Pulau Pinang sesak apabila polis menjalankan sekatan jalan raya susulan kejadian tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!