Sukan SEA 2021 utamakan atlet muda, pelapis: Syed Saddiq
KUALA LUMPUR - Lebih ramai atlet muda dan pelapis terutamanya pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) akan diberi peluang beraksi pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) akan menggunakan prestasi atlet Sukma dan MASUM sebagai asas pemilihan atlet bagi memulakan program penyediaan Sukan SEA 2021.
"Sukan SEA harus dijadikan pentas bagi atlet muda pamer bakat mereka. Seperti edisi kali ini di Filipina, 51 peratus adalah atlet bawah 21 tahun dan mendapat pendedahan pertama kali di peringkat antarabangsa. Sepatutnya kita beri lebih ruang kepada atlet pelapis untuk persediaan sukan peringkat Asia dan Komanwel.
"Kita kena terima cabaran ini kerana kalau kita tidak lakukan di Sukan SEA tapi akhirnya prestasi kita terjejas di Sukan Asia, Sukan Komanwel atau Sukan Olimpik, itu lebih teruk.
"Vietnam dan Thailand sudah ke hadapan, edisi 2017 mereka hilang banyak pingat sebab ramai atlet baharu (muda) tetapi atlet itu telah mengalahkan atlet senior kita kali ini," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN di sini hari ini.
Mesyuarat itu bagi membentangkan laporan awal prestasi kontinjen negara ke Sukan SEA 2019, yang menyaksikan Malaysia gagal mencapai sasaran meraih 70 pingat emas ditetapkan apabila sekadar memenangi 56 pingat emas, 57 perak dan 71 gangsa.
Berdasarkan laporan awal itu, beberapa tindakan susulan akan dilaksanakan iaitu semua sukan yang gagal mencapai sasaran ditetapkan diminta untuk memberikan surat tunjuk sebab atas kegagalan mereka.
Syed Saddiq berkata, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengadakan mesyuarat post mortem Sukan SEA Filipina mengikut jenis sukan bermula Januari depan, yang akan melibatkan atlet, jurulatih dan pegawai persatuan sukan kebangsaan masing-masing.
Selain itu, beliau turut meminta MSN untuk mengkaji semula status sukan teras dari segi urus tadbir, perkembangan organisasi dan prestasi mereka.
"Kita akan melihat semula pembangunan sukan di peringkat negeri seperti yang dilakukan melalui Program Pelapis Negeri dan Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri (USPTN). Hasil kajian ini akan dibentangkan pada Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN selepas Sukan Malaysia 2020 di Johor," katanya.
Mesyuarat pada hari ini juga meluluskan anggaran belanjawan MSN bagi tahun 2020 sebanyak RM329 juta berbanding RM269 juta tahun ini, manakala RM222 juta daripada jumlah itu akan diperuntukkan bagi program berkaitan pembangunan atlet negara berbanding RM165 juta tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!