Hishammuddin sedia disiasat Lembaga Disiplin UMNO

Hishammuddin - Foto Bernama
Hishammuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menegaskan dirinya bersedia untuk disiasat Lembaga Disiplin UMNO atas dakwaan melanggar Perlembagaan parti itu dan Tataetika Ahli UMNO.

Kenyataan itu hadir bagi menjawab penularan surat Lembaga Disiplin UMNO ditandatangani Pengerusinya, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang meminta Hishammuddin memberi penjelasan berhubung tuduhan itu pada 26 Disember ini.

"Tular berita tentang surat Apandi berhubung siasatan terhadap saya oleh Lembaga Disiplin UMNO. Saya konsisten - nak siasat, siasatlah. Tiada apa saya hendak sembunyikan," katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya.

Berdasarkan surat bertarikh 13 Disember itu, Hishammuddin didakwa melanggar Fasal 20.8 (b), (c), dan (f) Perlembagaan UMNO dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2, 3.1.4 dan 3.1.6 Tataetika Ahli UMNO.

Jika didapati benar, Hishammuddin boleh dihukum di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Hishammuddin sudah selesai: Annuar

Hishammuddin sebelum ini didakwa antara pemimpin yang cuba mewujudkan kerajaan pintu belakang namun beliau menafikannya.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Semberong itu berkata, pada waktu ini, ahli parti seharusnya mengukuhkan UMNO dan bukannya mengeruhkan keadaan dengan menimbulkan sebarang spekulasi.

Artikel Berkaitan:

"Kini bukan sahaja sebahagian besar ahli parti berikrar untuk terus berjuang mengukuhkan parti malah, Presiden sendiri telah akui dalam Ucapan Penggulungan Persidangan Agung UMNO (PAU2019) bahawa kesemua Ahli Parlimen UMNO tetap setia kepada parti. Jadi, jangan la kita keruhkan semula keadaan dengan menimbulkan sebarang spekulasi.

"Sekarang ialah masa untuk kita bulatkan tekad, rapatkan barisan dan melangkah ke depan demi menyantuni rakyat di luar sana agar mereka kembali yakin terhadap UMNO dan Barisan Nasional," katanya.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi Sinar Harian menjelaskan isu membabitkan Hishammuddin yang berdepan siasatan Lembaga Disiplin UMNO atas tuduhan melanggar Perlembagaan dan tata etika sebagai ahli parti itu telah selesai.

Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah mendapatkan penjelasan daripada Hishammuddin sebelum PAU2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!