Ubat gigi jadi punca cerai

Gambar hiasan -Foto 123RF
Gambar hiasan -Foto 123RF
A
A
A

BARU-baru ini, penulis berkesempatan bertemu dengan salah seorang anggota jawatankuasa hakam ketika melakukan satu tugasan.

Pada mulanya, topik perbincangan kami hanya terarah kepada skop persoalan yang penulis utarakan. Wawancara tersebut nampaknya semakin rancak apabila beliau menyentuh ke satu topik lain pula. Bagi penulis, senario itu satu perkara biasa lebih-lebih lagi bertemu dengan individu yang mempunyai banyak ilmu pengetahuan.

Kepada penulis, hakam tadi memberitahu bahawa kes perceraian di Malaysia kini berada pada peringkat sangat membimbangkan. Masakan tidak, rata-rata alasan perceraian yang dikemukakan pasangan adakalanya tidak masuk dek akal.

Hakam tadi meneruskan rentak ceritanya. Ujar beliau, ada satu kes yang dikendalikannya melibatkan pasangan suami isteri yang bercerai hanya kerana gara-gara ubat gigi!

“Si suami itu dikatakan suka picit ubat gigi dari belakang, manakala isterinya pula gemar picitnya dari tengah.

“Situasi itu kadangkala membuatkan pasangan berkenaan kerap bergaduh dan bermasam muka. Akhirnya, kes dibawa ke Mahkamah Syariah. Walaupun perkahwinan mereka cuba diselamatkan, namun akhirnya bercerai juga,” katanya.

Satu lagi kes yang dimaklumkan kepada penulis juga tidak kurang peliknya.

Kali ini melibatkan seorang suami yang mempunyai sikap pendiam.

Artikel Berkaitan:

Hakikatnya, si isteri sebelum kahwin lagi sudah tahu bahawa suaminya memang tidak banyak bercakap.

Namun, atas dasar ingin mencuba untuk hidup bersama, kedua-duanya menetapkan keputusan untuk mengikat tali perkahwinan.

Setahun bersama, segalanya indah belaka. Namun lama-kelamaan, si isteri mula bosan dengan sikap pendiam suaminya.

Kata hakam berkenaan, sebenarnya bukan si suami tidak sayangkan isterinya, namun memang sikapnya yang kurang bersembang memang sudah begitu sejak kecil lagi.

Malah bersama ahli keluarganya sendiri, pendekatannya tetap serupa. Tiada yang berubah.

Barangkali wanita itu menganggap ia satu penyeksaan hebat baginya, maka terlerailah ikatan yang dibina.

Ujar hakam tersebut, itu hanya dua contoh. Sebenarnya terdapat banyak lagi kes penceraian berlaku atas faktor ‘luar biasa’.

Perceraian

Ya, jika melihat kembali laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan perceraian orang Islam yang direkodkan pada tahun 2017 mencecah 39,709 kes.

Jumlah itu menurun sebanyak tiga peratus berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan 41,030 orang seperti yang dilaporkan Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Laporan sama turut menyebut, perceraian paling ramai melibatkan kumpulan umur antara 30 hingga 34 tahun baik lelaki mahupun wanita sepanjang tahun 2017. Kumpulan usia tersebut bukan sahaja merangkumi orang Islam sahaja, tetapi juga mereka yang bukan Islam.

Benar, dalam Islam perceraian itu diharuskan, namun ia dibenci oleh ALLAH SWT. Bukankah Islam menyediakan beberapa panduan awal sebelum memilih talak sebagai jalan terakhir? Antaranya dengan memberi nasihat, berpisah tempat tidur dan pukulan yang tidak mencederakan jika langkah pertama serta kedua tidak berhasil.

Perceraian sebenarnya adalah pilihan terakhir seandainya tiada apa lagi boleh dibuat meskipun pelbagai usaha sudah dilakukan.

Sebelum memasuki alam perkahwinan, setiap bakal pengantin Muslim wajib mengikuti kursus perkahwinan yang diselia di bawah Jabatan Agama Islam Negeri.

Bahkan, usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama tidak ternoktah di situ sahaja. Jakim sebenarnya menganjurkan kursus pasca perkahwinan yang diperkenalkan tahun 2012 untuk pelbagai fasa usia perkahwinan. Tujuan utamanya adalah untuk memulihkan semula hubungan suami isteri.

Antara pengisian modul berkenan ialah ceramah pengurusan dari aspek psikologi, kesihatan dan kewangan keluarga serta mengendalikan tekanan dalam rumah tangga.

Jikalau dilihat dari segi penganjurannya, ia begitu signifikan kerana berupaya memberikan motivasi dan semangat baharu kepada pasangan untuk melayari rumah tangga masing-masing.

Sedangkan telefon bimbit juga perlukan pengecas sebagai ‘makanannya’ untuk terus berfungsi. Apatah lagi, manusia yang pasti juga memerlukan ‘pengecas’ dalam kehidupan mereka. Ia sedikit sebanyak akan mengingatkan kita kembali kepada tujuan asal kehidupan di dunia yang fana ini.

Pun begitu, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada kursus berkenaan semata-mata. Walau apa sekalipun, ia sebenarnya berbalik kepada diri kita sendiri.

Apa yang penting, pengukuhan hubungan bersama pasangan itu perlu dimainkan setiap individu. Rajin-rajinkanlah diri dengan aktiviti kerohanian dan menghadiri kelas-kelas agama dari masa ke masa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!