Laut bergelora bawa rezeki!
BACHOK - Di sebalik fenomena laut bergelora dan ombak kuat membadai pesisir dan teluk di Pantai Irama Bachok, terdapat rezeki buat penduduk setempat.
Hanya dalam tempoh tiga jam, penduduk yang menjala di pesisir dan teluk pantai itu berjaya memperoleh lebih setengah guni iaitu kira- kira 10 kilogram (kg) ikan belanak.
Seorang penduduk, Muhammad Izzul Islam Razali, 28, berkata, keadaan angin kencang dan laut bergelora menyebabkan terdapat banyak ikan spesis belanak dibawa ombak sehingga ke pesisir pantai dan masuk ke teluk berhampiran.
Dia yang tinggal di Kampung Teluk di sini berkata, dia memperoleh setengah guni atau 10kg ikan belanak hasil tiga jam menjala.
“Ombak kuat ketika ini dan banyak ikan dibawa sampai ke pesisir pantai. Jadi saya turut sama mencari rezeki dengan menjala ikan pada waktu malam.
“Hari ini (semalam) masuk hari ketiga saya datang menjala ikan dan hasil tangkapan sangat memuaskan kerana memperoleh sehingga 10kg ikan belanak setiap kali datang menjala di sini,” katanya ketika ditemui di Pantai Irama di sini.
Tinjauan Sinar Harian di pantai itu semalam turut merasai tiupan angin kencang dan melihat gelora ombak yang menghempas sehingga melepasi serta menghakis tebing.
Menurut Muhammad Izzul Islam, sudah menjadi seperti acara tahunan penduduk setempat turun menjala ikan di pesisir pantai ketika air laut pasang pada musim tengkujuh.
“Kebiasaannya penduduk setempat sahaja yang menjala kerana mereka biasa dengan keadaan air di sini dan orang ramai hanya datang untuk melihat ombak sambil menyaksikan hasil tangkapan kami.
"Orang ramai juga turut sama tidak melepaskan peluang melihat sendiri keadaan itu namun tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjarakkan kedudukan masing-masing dari kawasan pantai," katanya.
Seorang penduduk, Mohd Zaimi Pa,adek, 33, berkata, dia yang bekerja sendiri itu juga tidak melepaskan peluang menjala di pesisir pantai ketika musim tengkujuh ini, namun tetap mengutamakan keselamatan dengan hanya menjala di kawasan air cetek.
“Saya baru saja tiba beberapa jam lalu untuk menjala dan sudahpun mendapat hasil tangkapan kira-kira 3kg ikan belanak hasil menjala di kawasan pesisir pantai ini.
“Ketika keadaan angin kencang dan laut bergelora seperti ini sangat berbahaya kepada sesiapa pun termasuk penjala tetapi kalau saya hanya menjala di kawasan air paras lutut sahaja, lebih dari itu sudah tidak berani,” katanya.
Sementara itu, fenomena laut bergelora itu turut membawa ombak yang menyebabkan hakisan pada tebing di pesisir pantai sehingga membimbangkan penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!