Mangsa banjir di Kelantan perlu berpindah ke PPS berdaftar
KOTA BHARU - Penduduk di negeri ini yang terjejas banjir disaran berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang diwartakan kerajaan bagi memudahkan penyaluran bantuan oleh pihak bertanggungjawab.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, ini kerana segelintir mangsa banjir berpindah di tempat tidak sah, sedangkan kerajaan sudah menyediakan kemudahan PPS di setiap jajahan yang didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Adalah sukar bagi pihak berkaitan menyalurkan bantuan jika mangsa banjir berada di kawasan pemindahan yang tidak berdaftar kerana kebiasaannya bantuan akan tertumpu kepada mangsa banjir yang berada di PPS yang berdaftar,” katanya selepas hadir di Majlis Sanjungan Budi di sini malam tadi.
Beliau mengulas dakwaan segelintir mangsa banjir gelombang pertama baru-baru ini kononnya pengurusan di PPS lambat menghulurkan bantuan terutamanya makanan sehingga menimbulkan masalah kepada mereka terutama wanita mengandung dan kanak-kanak.
Katanya, pihaknya juga akan berusaha untuk melakukan penambahbaikan di PPS pada masa akan datang dengan melakukan pengasingan bagi orang kurang upaya (OKU), wanita, kanak-kanak serta warga emas bagi memberikan lebih tumpuan kepada mereka.
Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Kelantan berkata, pihaknya sudah bersiap sedia bagi menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku sekitar akhir bulan ini.
“Sekarang kita bimbang kalau berlaku hujan berterusan dan air pasang pada 23 hingga 27 Disember ini dan jika ianya berlarutan mungkin akan berlaku banjir besar, namun mengikut ramalan cuaca yang dikeluarkan, banjir tahun ini tidak akan seteruk yang berlaku pada 2014.
“Malah, selain persiapan dari segi fizikal, kita juga telah memohon supaya setiap masjid di negeri ini melakukan solat hajat dan berdoa supaya tidak berlaku musibah banjir yang di luar jangkaan dan ianya telah dilaksanakan di sesetengah masjid," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!