Pegawai kanan kerajaan direman SPRM
GEORGETOWN - Mahkamah Majistret di sini, semalam memerintahkan seorang pegawai kanan sebuah jabatan perkhidmatan awam di negeri ini direman enam hari.
Tempoh reman sehingga Ahad ini itu dikeluarkan oleh Majistret Rosnee Mohd Radzuan, semalam selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan penguat kuasa SPRM pagi semalam kerana dipercayai terbabit dalam salah guna kuasa melibatkan pemberian projek kepada sebuah syarikat milik anaknya.
Menurut sumber, suspek ditahan jam 8.10 pagi ini ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM di Georgetown berhubung kes yang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Suspek dipercayai menggunakan jawatannya mencadangkan syarikat milik anaknya untuk mengendalikan Sistem Kelas Tabika Perpaduan Pulau Pinang kepada Jawatankuasa penilaian Sebut Harga Perkhidmatan Sistem EDU KIDS.
Sementara itu, sumber berkata, anak lelaki pegawai berkenaan yang berusia 27 tahun turut ditahan kira-kira jam 10.30 pagi semalam di Ipoh, Perak dan dijangka direman hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!