'Jika saya terlibat, BN tak akan mendakwa Azilah dan Sirul'

Najib, Azilah, Altantuya dan Sirul
Najib, Azilah, Altantuya dan Sirul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan sekiranya beliau terlibat secara langsung dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu tidak akan mendakwa dua anggota polis yang terlibat di mahkamah.

Dua anggota polis yang dimaksudkan Najib itu ialah bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan pegawai polis, Sirul Azhar Umar.

“Jika benar-benar saya terlibat, tak perlulah kerajaan BN mendakwa dua anggota polis itu di Mahkamah Tinggi.

“Jika benar-benar saya ada penglibatan, tak perlulah kerajaan BN merayu sampai ke Mahkamah Persekutuan apabila dua anggota polis itu menang di Mahkamah Rayuan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya malam tadi.

Dalam catatannya itu, beliau turut melampirkan video keterangan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada 2015 tentang kes pembunuhan wanita Mongolia berkenaan.

Najib merumuskan bahawa proses perbicaraan dari Mahkamah Tinggi hingga ke Mahkamah Persekutuan tidak mensabitkan beliau dalam jenayah itu.

“Secara logik, jika saya sebagai Timbalan Perdana Menteri masa itu begitu berkuasa dan begitu kejam sehingga mengarahkan pembunuhan seorang wanita yang sedang mengugut USD500,000 dari seorang kenalan saya.

“Kenapa ahli-ahli politik Pakatan Harapan semua sihat-sihat belaka masa saya lebih berkuasa sebagai Perdana Menteri?” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Polis siasat kesahihan akuan bersumpah Azilah

Artikel Berkaitan:

Semalam sebuah portal berita mendedahkan akuan bersumpah (SD) Azilah yang mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib yang ketika itu ialah bekas Timbalan Perdana Menteri dan rakan rapat Dr Abdul Razak Baginda.

Azilah mendakwa mendapat arahan daripada Najib untuk ‘tembak dan bunuh’ (shoot to kill).

Catatan baharu Najib di Facebooknya sambil berkongsikan video keterangan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada 2015 tentang kes pembunuhan Altantuya.
Catatan baharu Najib di Facebooknya sambil berkongsikan video keterangan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada 2015 tentang kes pembunuhan Altantuya.

Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.

Dia juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya keadilan dapat ditegakkan.

Najib kemudiannya menafikannya sambil menjelaskan dakwaan itu sebagai satu cerita rekaan terdesak untuk melepaskan diri daripada hukuman mati.

Ahli Parlimen Pekan itu juga menegaskan bahawa dakwaan itu adalah konspirasi baharu daripada PH untuk menentang dan memfitnahnya sekaligus membuka jalan kepada kerajaan untuk menahan dan memenjarakannya tanpa jaminan.

Sirul dan Azilah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2009 atas kesalahan membunuh Altantuya pada tahun 2006.

Mereka berjaya mengenepikan sabitan itu di peringkat Mahkamah Rayuan pada tahun 2013, namun Mahkamah Persekutuan pada tahun 2015 memutuskan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman mati itu.

Sirul melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Razak Baginda pula dibebaskan daripada tuduhan bersubahat.

Seorang jurucakap Jabatan Peguam Australia pada Februari lalu menjelaskan, Sirul boleh dihantar pulang ke Malaysia dengan syarat satu aku janji dibenarkan bahawa hukuman mati tidak akan dilaksana.

ARTIKEL BERKAITAN Dakwaan Azilah adalah cerita orang terdesak: Najib

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!