Kegiatan bawa masuk PATI di Sabah terbongkar
BELURAN - Kegiatan tiga lelaki tempatan membawa 12 pendatang tanpa izin untuk merentasi beberapa daerah di Sabah dibongkar oleh Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Operasi Taring di Jalan Sapi Nangoh dekat sini malam tadi.
Pegawai Pemerintahnya, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, operasi yang dilaksanakan oleh Kompeni B batalion kira-kira 11 malam tadi mendapati pendatang terbabit sedang bersembunyi dekat sebuah bangunan kedai.
“Sementara tiga lelaki itu, masing-masing berumur 40, 28 dan 24 tahun, memunggah barang dipercayai milik pendatang ke dalam tiga kenderaan di bangunan berkenaan.
"Pendatang terbabit berumur 2 hingga 44 tahun dipercayai datang dari Paitan dan hendak dibawa ke Tawau. Setiap pendatang telah membayar RM700 seorang untuk pengangkutan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata, semua tangkapan termasuk barang rampasan dan kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran untuk tindakan lanjut.
Perjalanan dari Paitan di Beluran ke Tawau perlu merentasi dua daerah iaitu Kinabatangan dan Lahad Datu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!