Kemasukan rakyat Hong Kong ke Malaysia tak banyak berubah: Azis
KUALA LUMPUR - Jumlah kemasukan warga Hong Kong ke negara ini tidak banyak berubah tahun ini walaupun terdapat kebimbangan akan berlaku peningkatan kemasukan rakyat negara itu berikutan krisis yang melanda Hong Kong.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, setakat ini kemasukan warga Hong Kong tidak banyak berubah dan sentiasa dipantau Jabatan Imigresen.
"Tiada banyak perubahan yang direkodkan. Bagi tahun ini, dari 1 Januari hingga 31 Ogos, hanya 242 kemasukan warga Hong Kong direkodkan, manakala 458 orang bagi 2018 dan 345 orang pada 2017," katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan Persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Yong Wui Chung yang ingin tahu jumlah kemasukan warganegara Hong Kong ke Malaysia sejak berlaku krisis di sana sehingga kini.
Menjawab soalan Wui Chung mengenai jumlah permohonan serta kelulusan kepada warga Hong Kong melalui program Malaysia My Second Home (MM2H), Mohd Azis berkata, seramai 1,265 permohonan daripada rakyat negara itu mendapat kelulusan dari 2002 hingga 31 Jun tahun ini.
"Menerusi rekod Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, bagi Januari hingga Jun tahun ini, hanya 44 permohonan diluluskan.
"Justeru, dakwaan kemasukan secara besaran-besaran melalui MM2H tidak benar memandangkan agensi berkaitan sentiasa memastikan kawalan ketat bagi kemasukan pelancong, tidak kira dari negara aman atau bergolak," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!