'Dakwaan Azilah berat, perlu disiasat'
KUALA LUMPUR - Dakwaan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri melalui akuan bersumpah (SD) berhubung arahan bunuh terhadap wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu adalah tuduhan yang berat dan perlu disiasat.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan menegaskan melalui SD berkenaan Azilah mendakwa bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan terlibat dalam pembunuhan pada tahun 2006 itu.
“Tuduhan yang dibuat oleh Azilah adalah satu tuduhan yang amat berat. Ia membabitkan kemungkinan Najib yang merupakan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, terlibat secara langsung dalam satu pembunuhan yang amat kejam.
“Saya harap pihak berkuasa akan segera menyiasat tuduhan yang dibuat oleh Azilah mengikut proses undang-undang negara,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Semalam sebuah portal berita mendedahkan SD Azilah yang mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib yang ketika itu ialah bekas Timbalan Perdana Menteri dan rakan rapat Dr Abdul Razak Baginda.
Azilah mendakwa mendapat arahan daripada Najib untuk ‘tembak dan bunuh’ (shoot to kill).
Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.
Dia juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya keadilan dapat ditegakkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan Azilah adalah cerita orang terdesak: Najib
Najib kemudiannya menafikannya sambil menjelaskan dakwaan itu sebagai satu cerita rekaan terdesak untuk melepaskan diri daripada hukuman mati.
Ahli Parlimen Pekan itu juga menegaskan bahawa dakwaan itu adalah konspirasi baharu daripada PH untuk menentang dan memfitnahnya sekaligus membuka jalan kepada kerajaan untuk menahan dan memenjarakannya tanpa jaminan.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Jika saya terlibat, BN tak akan mendakwa Azilah dan Sirul'
Azilah dan seorang lagi pegawai polis, Sirul Azhar Umar disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2009 atas kesalahan membunuh Altantuya pada tahun 2006.
Mereka berjaya mengenepikan sabitan itu di peringkat Mahkamah Rayuan pada tahun 2013 namun Mahkamah Persekutuan pada tahun 2015 memutuskan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman mati itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kesahihan akuan bersumpah Azilah
Sirul melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Razak Baginda pula dibebaskan daripada tuduhan bersubahat.
Seorang jurucakap Jabatan Peguam Australia pada Februari lalu menjelaskan, Sirul boleh dihantar pulang ke Malaysia dengan syarat satu aku janji diberikan bahawa hukuman mati tidak akan dilaksana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!