Padah gaji pekerja asing tanpa permit sah
KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik syarikat didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggaji pekerja asing tanpa permit sah.
Tertuduh, Che Wan Erwan Che Wan Embong, 37, turut berdepan hukuman dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan dibuat selepas tertuduh mengaku salah menggaji seorang pekerja lelaki warga Bangladesh, Mominur, 40, yang tidak memiliki pas sah untuk bekerja di premisnya di Kawasan Perindustrian Jabor, Kemaman, jam 4.35 petang pada 20 November lalu.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pemilik kilang memproses ayam dikenakan denda RM6,000 atau sebulan penjara kerana membenarkan seorang imigran haram masuk atau tinggal di dalam premisnya.
Mohd Nizam Saman, 37, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) dan boleh di hukum di bawah Seksyen 55E (2) Akta yang sama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membenarkan seorang imigran haram warga Indonesia, Zulkarnain, 24, tinggal di sebuah kilang memproses ayam di Serada, di sini, jam 11.35 pagi pada 20 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram dijumpai di dalam premis, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan kedua-dua pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Juliayana Hasan @ Jaafar di hadapan Hakim Nooriah Osman manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!