Kaut untung RM70,000 hasil menyamar polis

Noorzainy (tengah) menunjukkan senapang angin dan vest bertulis PDRM yang dirampas dari suspek tadi.
Noorzainy (tengah) menunjukkan senapang angin dan vest bertulis PDRM yang dirampas dari suspek tadi.
A
A
A

KEPALA BATAS- Empat lelaki ditahan Sabtu lalu selepas dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan aktif memeras ugut warga asing di kawasan Taman Mesra di sini.

Suspek ditahan pada jam 11.30 malam oleh anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan taman tersebut selepas mendapati kenderaan jenis Honda City yang dinaiki mereka dinaiki mereka berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 36 tahun.

"Mereka mampu mengumpul hasil mencecah RM70,000 sejak dua bulan lalu. Pemeriksaan ke atas kenderaan turut menemui sehelai vest berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta satu unit walkie talkie.

"Siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan peras ugut dengan menyamar sebagai anggota polis dan menyasarkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Sehingga kini, mereka sudah memeras sekurang-kurangnya 30 pendatang di sekitar negeri ini berdasarkan aduan diterima dengan kes terbaru membabitkan jumlah RM50,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU tadi.

"Tiga daripada suspek berasal dari Negeri Sembilan manakala seorang lagi dari Perak. Mereka sanggup datang ke sini dengan menyewa rumah semata-mata mahu melakukan jenayah ini. Vest bertulis PDRM pula didapati dari seorang rakan dan kita sedang menyiasat perkara itu.

"Semua suspek kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy juga meminta mangsa peras ugut ditampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan bersama sepucuk senapang angin di Kampung Setol, di sini Sabtu lalu.

Beliau berkata, turut dirampas bekas plastik mengandungi 82 biji guli serta satu tin minuman alkohol.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku menghasilkan sendiri senapang terbabit untuk tujuan menembak binatang yang menceroboh kebun ketum miliknya.

“Senapang itu masih berfungsi dengan minuman alkohol (bir) digunakan bagi menghasilkan gas manakala guli itu pula berfungsi sebagai peluru. Suspek direman sehingga esok untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!