Polis kesan lelaki tikam isteri
BUTTERWORTH - Polis sedang mengesan suami kepada wanita Myanmar yang ditemukan mati dibunuh di tingkat 19 sebuah kondominium di sini malam tadi untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Mohammad Noor Lal Minah, 29, yang juga warga Myanmar itu dipercayai masih berada di negara ini.
Menurutnya, suami mangsa yang bekerja sebagai pekerja kontrak telah menghilangkan diri selepas kejadian tersebut.
"Kita percaya, lelaki tersebut ada kaitan dengan kejadian bunuh itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Siasatan mendapati mangsa dan suaminya telah berkahwin di Myanmar pada 2017 dan sering keluar masuk ke negara ini sejak 2013 secara sah.
"Kita sudah meminta bantuan daripada pihak berkuasa di sempadan negara dan sehingga hari ini tiada rekod keluar suspek dilaporkan. Dia masih berada di negara ini dan kita sudah mendapat petunjuk," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa, Yoon Hati Htike, 29 mempunyai kelulusan kejuruteraan dari sebuah universiti di negara asalnya dan bekerja sebagai jurubahasa di sebuah klinik berdekatan rumahnya.
Semalam, mangsa ditemukan meninggal dunia dengan pisau masih tertusuk di leher dan tubuh dibaluti selimut di bilik tidur utama rumah sewanya.
Mangsa dipercayai dibunuh suaminya disyaki bermotifkan cemburu.
ARTIKEL BERKAITAN: Ditemukan mati dengan pisau masih tertusuk di leher
Sebelum itu, majikan mangsa membuat laporan polis selepas dia tidak hadir ke tempat kerjanya sejak tiga hari lalu.
Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan rumah mangsa pada jam 10.30 malam semalam.
Berdasarkan keterangan majikannya, mangsa pernah mengadu dia mempunyai masalah rumahtangga dan suaminya pernah mengugut untuk membunuhnya.
Mangsa dan suaminya adalah pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan mereka menyewa kondominium tersebut sejak empat bulan lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!