'Tiada keperluan gerakkan aset bomba seluruh negara ke Johor'

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

MARANG - Kerajaan tidak berhasrat menggerakkan aset dan anggota bomba dari seluruh negara ke Johor kerana banjir di negeri itu masih terkawal.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bagaimanapun berkata, kerahan akan dilakukan jika bencana bertambah buruk kerana semua anggota bomba dalam keadaan bersiap sedia.

“Taklimat daripada bomba Johor setakat ini tiada keperluan untuk itu tetapi semua anggota bomba di seluruh negara bersedia untuk ditugaskan di negeri dilanda banjir yang teruk. Begitu juga dengan jangkaan gelombang banjir seterusnya di Pantai Timur, kita sedang pantau perkembangannya.

“Di Terengganu misalnya, kita sudah sediakan helikopter yang sekarang ditempatkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur di Wakaf Tapai yang boleh digunakan jika ada kawasan tidak boleh diakses dari darat," katanya.

Menurutnya, pembekuan cuti anggota bomba sehingga Mac tahun depan dan pengecualian diberikan kepada kumpulan tertentu seperti dari Sabah dan Sarawak yang menyambut perayaan Krismas.

"Kita juga mempunyai 15,000 anggota bomba sukarela dan lebih 2,000 bomba bantuan di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan (KSSK) Siri 1/2019 yang diadakan di ABPM Wilayah Timur di Wakaf Tapai, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zamri Salleh dan Komandan ABPM Wilayah Timur, Abdul Khair Osman.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, terdapat penambahan aset JBPM membabitkan bot, jentera bomba dan pacuan empat roda.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini kita sudah ada sembilan helikopter, malah dalam RMK12 kita cadangkan tambahan 8 helikopter lagi dan kemungkinan kita juga akan masukkan helikopter ambulans (medivac) bagi memastikan bomba dapat menjalankan tugasan mereka dengan lebih efisien,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!