TMM 2020: Tiada keperluan buka pintu sempadan 24 jam - Mukhriz

Mukhriz (tengah) menunjukkan buku Direktori Pelancongan Negeri Kedah yang dilancarkan sambil disaksikan Uzaidi (dua dari kiri) ketika gimik pelancaran hari ini.
Mukhriz (tengah) menunjukkan buku Direktori Pelancongan Negeri Kedah yang dilancarkan sambil disaksikan Uzaidi (dua dari kiri) ketika gimik pelancaran hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada keperluan untuk pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam dibuka selama 24 jam kepada pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana data kemasukan pelancong belum diperolehi bagi menunjukkan keperluan untuk berbuat demikian.

Menurutnya, pada masa sama, kerajaan negeri perlu mengambil kira aspek keselamatan selain kemungkinan pembukaan pintu sempadan itu disalahguna untuk aktiviti penyeludupan.

“Belum ada data menunjukkan langkah tersebut mampu beri manfaat kepada negara mahupun negeri. Jika ada data yang menunjukkan keperluan itu, mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Direktori Pelancongan Negeri Kedah hari ini.

Setakat ini pintu sempadan tersebut hanya dibuka selama 24 jam untuk kenderaan berat dan kargo bagi memudahkan urusan perdagangan dua hala bermula 18 Jun lalu.

Mukhriz berkata, Kedah sudah bersedia menerima kehadiran pelancong dengan menawarkan pelbagai produk pelancongan dan pada masa sama berusaha menaiktaraf infrastruktur sedia ada.

“Kita akui masih ada kekangan dihadapi, antaranya infrastruktur belum mencukupi dan tahap perkhidmatan belum capai piawaian antarabangsa. Produk kita mungkin boleh ditambah baik lagi untuk tepati citarasa pelancong, namun perlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Menurutnya, kekurangan papan iklan promosi negeri juga turut diberi perhatian, agar promosi lebih menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

“Selama ini, Kedah terlampau merendah diri untuk promosikan diri, seolah tidak yakin dengan produk sendiri yang diyakini mampu tarik pelancong. Kualiti produk sudah ada, mungkin perlu ditambah baik dan giatkan promosi termasuk di luar negara menerusi laman web,” katanya.

Mukhriz berkata, Direktori Pelancongan Negeri Kedah merupakan antara usaha menguar-uarkan Kedah kepada dunia, menyenaraikan tempat pelancongan menarik di 12 daerah negeri ini.

“Direktori ini bukan dibuat secara ‘syok sendiri’, sebaliknya meraikan pandangan serta sentuhan pemain industri antaranya pengendali, pengusaha perkhidmatan dan ejen pelancongan menerusi siri program ‘Sembang Gah Kedah’, dianjurkan bersama majlis daerah tempatan di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, sejak awal 2019, usaha mengenal pasti produk-produk baharu pelancongan dilakukan dan dijadikan pakej menarik, antaranya pakej penjelajahan aktiviti berkanu, meredah jeram serta menelusuri gua bagi menghayati keindahan alam semula jadi.

“Terdapat juga ‘pakej budaya’ yang membuka peluang kepada pelancong mengadakan lawatan unik perkampungan di Kedah. ‘Kampung Tours’ bakal membawa pengunjung menjalani aktiviti harian bersama penduduk kampung dengan hidangan tradisional, lokasi bersejarah, serta mengenali permainan dan kebudayaan tradisi Kedah,” katanya.

Mukhriz berkata, usaha mempromosikan Kedah di mata dunia turut digiatkan secara berterusan, sehingga ada syarikat berkaitan pelancongan dan logistik dari luar negara seperti Qatar Airlines mewujudkan penerbangan terus dari Doha ke Langkawi bermula Oktober lalu.

“Status Doha selaku pusat penerbangan seluruh Asia Barat dan menjadi tumpuan pelancong serata dunia, kita yakin nama Langkawi, Kedah dan Malaysia turut serta berada dalam senarai destinasi pilihan percutian pelancong dari benua lain,” katanya.

Sementara, Pengerusi Tourism Productivity Nexus (TPN), Uzaidi Udanis berkata, melalui program Sembang Gah Kedah yang bermula pada Julai dan berakhir Ogos lalu, sebanyak 300 produk pelancongan baru dan sedia ada berjaya dikumpul.

“Daripada jumlah itu, kami akan mengenal pasti produk yang boleh dimajukan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!