Gagasan Nadi kekal yakin dengan segmen perumahan mampu milik
GAGASAN Nadi Cergas Bhd kekal yakin dengan perumahan mampu milik di Malaysia memandangkan masih terdapat ketidakcukupan dalam segmen itu.
Pengarah Urusan Kumpulan, Wan Azman Wan Kamal berkata, berdasarkan Rancangan Malaysia Kesebelas, kira-kira 200,000 unit rumah mampu milik akan dibina menjelang 2020 susulan permintaan tinggi.
“Kami yakin perumahan mampu milik akan kekal kukuh bagi tahun-tahun akan datang, dan kami mungkin mendapatkan beberapa projek berkaitan pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas penyenaraian syarikat itu buat kali pertama di Pasaran Ace Bursa Malaysia di sini, hari ini.
Penyedia perkhidmatan pengurusan kemudahan dan pembinaan itu merekodkan prestasi menggalakkan di Pasaran Ace hari ini apabila mencecah 39 sen, meningkat sembilan sen atau 30 peratus daripada harga terbitan 30 sen.
Ia juga mengalami kadar terlebih langgan 20.2 kali semasa proses pengundian dan menyaksikan 8.95 juta saham bertukar tangan semasa pasaran dibuka.
Semalam, syarikat itu mengumumkan ia memperoleh kontrak bernilai RM109.99 juta untuk membina pembangunan perumahan awam di Putrajaya.
Wan Azman berkata pada masa ini, Gagasan Nadi akan menumpukan terutamanya projek perumahan mampu milik, namun tidak menolak kemungkinan menyertai tender kerajaan lain seperti hospital dan kem tentera sekiranya ada.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa pihaknya akan mengutamakan projek syarikat berkaitan kerajaan berbanding swasta disebabkan jaminan pembayaran.
“Kami akan amat memilih dalam mendapatkan kerja-kerja swasta malah akan meneliti pembayaran syarikat atau rekod prestasi terlebih dahulu sebelum menyertai kerja berkenaan,” katanya.
Beliau berkata pada masa ini, nilai perolehan kontrak syarikat, yang berjumlah lebih RM700 juta, dijangka berkekalan sehingga 2022.
Wan Azman memaklumkan syarikat mempunyai tanah kediaman seluas 46.94 hektar di Ulu Yam dan 0.20 hektar tanah komersial di Chow Kit.
"Tanah ini hanya untuk tujuan pelaburan, dan kami tidak giat mengumpul simpanan tanah, kecuali ia benar-benar baik," katanya.
Beliau berkata Gagasan Nadi, yang mengkhusus dalam reka bentuk dan pembinaan, mempunyai rekod prestasi selama lebih 20 tahun dalam mendapatkan projek bernilai lebih RM3 bilion di seluruh negara.
"Berdasarkan pengalaman yang ada, ditambah dengan perunding yang bekerjasama dengan kami, ia adalah satu kelebihan untuk syarikat bergerak maju," katanya.
Sementara itu, Pengerusi, Muhamad Fuad Abdullah berkata syarikat itu akan terus mengambil bahagian dalam tender mengikut keupayaan dan kepakarannya dari segi teknikal, kewangan dan sumber manusia, tanpa mengira pihak mana menjadi kerajaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!