Penghantaran pulang Rohingya perlu jaminan kerakyatan

Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia percaya rancangan penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myanmar yang berwibawa, perlulah mengandungi jaminan mereka diberi taraf kerakyatan, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata pemberian kerakyatan adalah langkah penting untuk menjamin mereka mendapat perlindungan dari segi hak asasi manusia dan kebebasan asasi.

“Ia merupakan jaminan penting bagi kepulangan anggota masyarakat Rohingya ke Myanmar secara berterusan dan Malaysia sentiasa membuat pemantauan rapi terhadap proses penghantaran pulang Rohingya ke Myanmar, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rancangan penghantaran pulang terbaru, yang dijadual bermula pada 15 November 2018, ditangguh ke suatu tarikh yang tidak dinyatakan.

Saifuddin menegaskan mereka yang kembali ke negara itu janganlah berulang menjadi sasaran ancaman pembunuhan dan keganasan seperti yang mereka alami sebelum ini.

“Apa yang penting ialah Rohingya akhirnya kembali ke tempat asal mereka untuk membina semula kehidupan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata Malaysia percaya, Myanmar dan Bangladesh, dengan bantuan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu, pemimpin masyarakat dan masyarakat sivil, dapat mengukuhkan lagi kerjasama untuk menjadikan harapan itu suatu kenyataan.

“Malaysia akan terus menjadi jiran yang bersedia untuk menghulurkan bantuan dengan sedaya upayanya,” kata Saifuddin sambil menjelaskan bahawa krisis berlarutan di Rakhine State dan kesannya terhadap rantau ini, terus mengundang keprihatinan mendalam Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, lebih 727,000 orang, sebahagian besarnya anggota masyarakat Rohingya, dipaksa melarikan diri ke Bangladesh.

Ketika ini terdapat 80,018 anggota masyarakat Rohingya di Malaysia, kata Saifuddin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!