Mana bukti tamat perkhidmatan Eric Liew?: Pemuda Umno Selangor

Amin memberikan tempoh 24 jam kepada Cisco membuktikan kenyataan mereka berhubung tamatnya perkhidmatan Eric Liew di syarikat tersebut
Amin memberikan tempoh 24 jam kepada Cisco membuktikan kenyataan mereka berhubung tamatnya perkhidmatan Eric Liew di syarikat tersebut
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tempoh 24 jam diberikan kepada Cisco Systems Malaysia (Cisco) Sdn Bhd bagi membuktikan kenyataan berhubung status penamatan perkhidmatan kakitangan mereka, Eric Liew yang terbabit dengan isu menghina Sultan Muhammad V di media sosial.

Naib Ketua Pemuda Umno Selangor, Amin Mohd Shukor, berkata, kenyataan dibuat Cisco mengenai perkara itu terlalu umum tanpa perincian tindakan yang dibuat oleh syarikat terhadap isu berkenaan.

Menurutnya, Cisco sepatutnya mengambil pendekatan sama seperti yang dibuat oleh Honda Malaysia yang cukup responsif dan tegas.

“Walaupun Cisco menyatakan status Eric Liew yang kini sudah tidak lagi bekerja di situ, mereka perlu membuktikan dengan mendedahkan surat pemecatan atau peletakan jawatan.

“Ini bukan main-main tetapi libatkan perkara menghormati insititusi Di Raja, kesejahteraan dan rukun negara,”katanya selepas menghantar memorandum desakan bukti kepada Cisco di Menara 1 Sentral, di sini, hari ini.

Katanya, Cisco perlu mencontohi Honda Malaysia yang dengan jelas memaklumkan melakukan siasatan dalaman dan disusuli dengan tindakan memecat kakitangan mereka yang terlibat dengan isu menghina kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tambah Amin, ia adalah desakan kedua yang dibuat terhadap Cisco agar ia menjadi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia.

“Pemuda Selangor akan melakukan tindakan susulan ‘element of surprise’ sekiranya Cisco gagal memberi bukti tersebut dalam tempoh 24 jam.

Artikel Berkaitan:

“Bukan nak tunjuk Pemuda Umno ini samseng... tidak. Kita nak didik masyarakat, nak tunjuk kita hormati perlembagaan negara dan akan ikut lunas undang-undang.

Pemuda Umno Selangor berkumpul bagi menyerahkan memorandum desakan bukti kepada Cisco
Pemuda Umno Selangor berkumpul bagi menyerahkan memorandum desakan bukti kepada Cisco

“Ini bukan tentang perkauman, bukan sebab Eric Liew Cina sebaliknya atas dasar kenegaraan. Sebelum ini juga ada suri rumah Melayu yang kena penjara sebab hina Agong,” katanya.

Dalam masa sama, Amin turut menggesa tindakan tegas dari pihak berkuasa terhadap Eric Liew apabila laporan polis turut dibuat pihaknya.

“Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan prinsip rukun negara, tindakan Eric Liew adalah cukup biadap, kurang ajar dan tidak menjaga sensitiviti rakyat Malaysia serta tidak menghormati Institusi Raja.

“Komen yang berunsur penghinaan secara terbuka di halaman Facebooknya adalah berniat jahat dan jelas melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.

Terdahulu Pengarah Urusan Cisco Malaysia Albert Chai, menerima memorandum desakan bukti yang diserahkan Amin di lobi Menara 1 Sentral di sini.

Nama Eric Liew menjadi tular di media sosial susulan tindakannya menghina peletakan jawatan Yang Dipertuan Agong Ahad lepas, di Facebook.

Perkara itu menimbulkan rasa kurang senang netizen dan bertindak memanjangkannya kepada majikan Eric Liew dan mendesak supaya tindakan diambil.

Cisco menerusi kenyataan ditandatangani Pengarah Urusannya, Albert Chai, dalam satu kenyataan rasmi hari ini memaklumkan pekerja mereka itu sudah tidak lagi bersama syarikat berkenaan.

Dalam kenyataan itu tidak dinyatakan nama Eric Liew namun Cisco turut menyatakan rasa kesal dan menyifatkan tindakan biadab itu adalah atas kapasiti individu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!