Penjaja Bazaria Wangsa Maju nikmati kadar sewa lebih murah: Khalid

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad. - Foto Bernama
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penjaja di Uptown Danau Kota yang bakal beroperasi di Bazaria Wangsa Maju akan menikmati kadar sewa tapak lebih murah tanpa melibatkan urus niaga dengan pihak ketiga.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, kadar sewa yang telah ditetapkan adalah RM225.20 sebulan untuk barangan makanan dan RM212.70 untuk barangan kering.

“Kalau guna orang tengah sekurang-kurangnya (bayaran sewa tapak) dalam kadar RM500 hingga RM1,500 sebulan, pada bulan Ramadan pula sewa berkenaan boleh naik sehingga RM4,000 hingga ke RM5,000.

“Kita nak tentukan penjaja tidak sewa (tapak) dengan harga tinggi, bila mereka sewa dengan orang tengah, kawalan dari sudut sewa itu tidak ada dan hasil itu juga tak masuk pada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), inilah kita nak perbaiki,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, penyewa berlesen tiada masalah untuk berpindah namun ada pihak tertentu dipercayai ‘orang tengah’ didakwa cuba menghasut serta memainkan isu perkauman.

“Tiada isu Melayu seperti yang dibangkitkan atau viral berhubung perpindahan lokasi ini kerana tujuan utama ialah menyelesaikan beberapa perkara, antara lain berkaitan masalah penjaja tanpa lesen, kesesakan jalan raya dan isu orang tengah,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, tapak penjaja baharu itu dijangka akan dipenuhi penjaja dan pengunjung menjelang akhir Disember ini.

"Kita dah beri notis masa dan ruang yang lebih dari mencukupi. Tak ada sebab mulai 1 Jan (depan), masih ada lagi penjaja tepi jalan, ia bukan untuk kepentingan mana-mana pihak tetapi untuk kepentingan peniaga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Khalid berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan pada 15 Dis lepas, seramai 242 penjaja telah pun memulakan perniagaan di tapak sementara itu manakala sebahagian penjaja sedang menyediakan gerai masing-masing.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan menjelaskan DBKL akan memberikan pengecualian bayaran sewa tapak selama tiga bulan kepada semua penjaja yang berpindah ke tapak baharu itu namun ia tidak membabitkan bayaran lesen. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!