Tiada kompromi restoran mengelirukan: Mujahid
PUTRAJAYA - Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana restoran bukan Islam yang menggantung ayat Al-Quran pada dinding dengan tujuan untuk mengelirukan orang ramai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, pihaknya bersama jabatan dan agensi bertanggungjawab akan mengambil tindakan terhadap mana-mana restoran terbabit andai melakukan kesalahan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya membuat pemantauan terhadap isu berkenaan bersama Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
"Kita ada buat pemantauan di tempat-tempat terlibat dan akan membuat tindakan bersesuaian dengan undang-undang yang ada," katanya.
Beliau mengulas mengenai tindakan sesetengah restoran pemiliknya bukan Islam yang menggantung ayat Al-Quran pada dinding restoran makanan.
Mujahid berkata, pihak berkuasa mempunyai mekanisme tertentu untuk bertindak seperti melalui laporan daripada orang ramai.
"Dari situ kita akan bertindak bersama selepas mendapat fakta yang jelas," katanya.
Semalam sebuah restoran di Seksyen 25 Shah Alam diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Serbuan itu dilakukan hasil aduan orang ramai terhadap restoran tersebut kerana mengelirukan masyarakat beragama Islam dengan menggantung ayat-ayat al-Quran dan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan mereka.
Timbalan Pengarah Operasi Jais, Salwana Ahmad Dahlan yang mengetuai operasi itu menjelaskan, hasil semakan mendapati restoran berkata merupakan pemilikan secara perkongsian antara dua individu dengan seorang daripadanya beragama Islam dan seorang lagi bukan beragama Islam.
Restoran tersebut juga bukan pemegang sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!