Boleh kemuka usul, hanya Majlis Presiden PH buat keputusan: Mukhriz

Mukhriz (dua dari kiri) ketika melawat ruang pameran produk keluaran Kedah sempena pelancaran Direktori Pelancongan Negeri Kedah hari ini.
Mukhriz (dua dari kiri) ketika melawat ruang pameran produk keluaran Kedah sempena pelancaran Direktori Pelancongan Negeri Kedah hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Usul tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri boleh dikemukakan oleh mana-mana pihak termasuk pihak yang dilihat seolah mendesak ia dipercepatkan namun keputusan hanya diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bagaimanapun bukan semua usul yang dibawa peringkat bawahan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

Menurutnya, hanya usul yang benar-benar penting dan memerlukan akan dijadikan agenda dalam mesyuarat berkenaan.

“Dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, kita taklah bincang sangat isu itu (peralihan kuasa) kerana banyak lagi perkara penting yang perlu diberikan perhatian terutama isu ekonomi, kos sara hidup dan harga barangan, ini yang sebenarnya jadi tumpuan kami,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Direktori Pelancongan Negeri Kedah hari ini.

Mukhriz berkata, isu peralihan kuasa sudah banyak kali dibangkitkan dan diperjelaskan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sudah banyak kali diberikan penjelasan dan dijawab sendiri oleh pihak terlibat, jadi kita tidak berhasrat untuk tokok tambah. Malah isu berkenaan tidak dibangkitkan mana-mana pihak dalam mesyuarat Majlis Presiden PH,” katanya.

Kelmarin, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang mendesak Majlis Presiden PH mengumumkan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri seperti dipersetujui sebelum ini.

Ketua komunikasinya, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, desakan itu bagi memastikan peralihan kuasa dilaksanakan sebelum Mei tahun hadapan bagi mengelak ketidakseimbangan politik dan persepsi negatif terhadap kerajaan PH.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usul tersebut akan dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebelum dikemukakan ke mesyuarat Majlis Presiden PH.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!