Bandar Malaysia dibangunkan semula

Dr Mahathir (lima dari kiri) menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian Pembangunan Bandar Malaysia antara Naib Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings, Tan Sri Lim Kang Hoo (empat dan kiri) dengan Ahli Lembaga Pengarah TRX City Sdn Bhd, Datuk Asri Hamidon (tiga dari kanan) di Putrajaya. - Foto Bernama
Dr Mahathir (lima dari kiri) menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian Pembangunan Bandar Malaysia antara Naib Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings, Tan Sri Lim Kang Hoo (empat dan kiri) dengan Ahli Lembaga Pengarah TRX City Sdn Bhd, Datuk Asri Hamidon (tiga dari kanan) di Putrajaya. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan), TRX City Sdn Bhd (TRXC) memeterai perjanjian dengan konsortium IWH CREC Sdn Bhd (IWH-CREC) bagi membangunkan Bandar Malaysia.

Konsortium IWH-CREC terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC) akan memperoleh 60 peratus pegangan ekuiti dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd.

Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dalam ucapannya berkata, Bandar Malaysia akan memberi impak besar ke atas ekonomi Malaysia kerana ia akan menjadi hub untuk terus menarik lebih banyak syarikat multinasional antarabangsa serta membolehkan potensi kerjasama dalam bidang kewangan, teknologi dan keusahawanan.

"Pelan pembangunan semula projek ini akan memastikan ia akan menjadi lebih inklusif dan selaras dengan pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia," katanya yang menjangkakan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM140 bilion.

Menurutnya, pelan pembangunan semula Bandar Malaysia mengambil kira dasar kerajaan untuk memastikan projek berskala besar berteraskan kepada rakyat di samping memberi nilai tambah kepada ekonomi negara seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Projek Bandar Malaysia sepatutnya dilihat dalam konteks pembangunan jangka panjang lebih dari 20 tahun yang mana ia membantu membentuk hala tuju Kuala Lumpur dalam beberapa dekad akan datang seperti hab pengangkutan yang berpotensi akan mengubah cara perjalanan seseorang individu.

"Ia juga boleh dilihat sebagai pusat komersial yang dapat memberikan rangsangan berterusan terhadap perdagangan dan inovasi sekaligus menjadi model kehidupan bandar berkualiti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Sementara itu, Guan Eng berkata, rundingan dan perjanjian baharu yang dimeterai hari ini adalah lebih baik berbanding perjanjian lama yang ditandatangani pada 31 Disember 2015.

"Dalam perjanjian baru ini, syarat pembayaran telah dipendekkan dan dipercepatkan dari tujuh kepada tiga tahun untuk memberi faedah kepada kerajaan.

"Sebagai tambahan kepada deposit asal sebanyak RM741 juta, IWH-CREC juga akan membayar tambahan sebanyak RM500 juta sebagai bayaran pendahuluan.

"Selain itu bilangan rumah mampu milik ditingkatkan kepada 10,000 unit," katanya.

Projek Bandar Malaysia dimulakan semalam selepas lebih dua tahun ditangguhkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!