PRK Kimanis: Pemuda UMNO bersiap siaga
PERHIMPUNAN Agung UMNO baru sahaja berlalu pada 4-7 Disember tempoh hari dan ribuan perwakilan telah kembali pulang ke kampung halaman masing-masing. Rata-rata bulan Disember ini dijadikan waktu untuk bersama keluarga dan anak-anak sempena cuti sekolah panjang. Bagi Pemuda UMNO, perjuangan untuk mengembalikan UMNO untuk diterima rakyat tetap diteruskan.
Seusai lengkapkan Latihan Skuad Sabil Siri 5 baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) keesokannya telah mengumumkan Pilihanraya Kecil P.176 Parlimen Kimanis di Sabah. PRK ini diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen ini setelah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan pembatalan keputusan Pilihanraya Umum (PRU14) yang lepas yang menyaksikan mantan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.
Pemuda UMNO menghormati keputusan mahkamah dan telah bersiap sedia dengan segala kemungkinan sejak awal lagi. PRK P.176 Parlimen Kimanis ini adalah PRK yang ke-10 sejak Pakatan Harapan memenangi PRU14 yang lepas. Bermula di Sungai Kandis sehinggalah baru-baru ini di Tanjung Piai, Pemuda UMNO bertekad untuk memberikan yang terbaik untuk memenangkan UMNO dan Barisan Nasional.
Walaupun beberapa siri awal PRK pada tahun 2018 seperti di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson mencatatkan kemenangan bagi pihak Pakatan Harapan, UMNO dan Pemudanya tidak putus asa dan bertekad untuk bangkit kembali dan memposisikan parti sebagai Pembangkang yang berwibawa.
Alhamdulillah, selepas UMNO berjaya mengumpulkan kekuatan semula untuk bangkit, PRK P.078 Parlimen Cameron Highlands adalah bukti bahawa UMNO dan Barisan Nasional boleh bangkit kembali. Strategi pucuk pimpinan parti untuk meletakkan calon terus Barisan Nasional dari kalangan Orang Asli tempatan Cameron Highlands akhirnya membuahkan hasil dengan kemenangan majoriti ke atas parti DAP dengan 3,238 undi.
Di sinilah formula jentera Pemuda UMNO dan BN berada di mana-mana sehinggakan kehadiran Pemuda dirasai bukan sahaja oleh para pengundi malahan jentera dan kepimpinan parti. Strategi ini digerakkan di siri-siri PRK seterusnya seperti di Semenyih dan Rantau serta akhir sekali di Tanjung Piai yang menyaksikan Barisan Nasional memenangi kerusi Parlimen berkenaan dengan majoriti melebihi 15,000 undi.
Namun begitu, di sebalik kejayaan formula yang sedia ada, Pemuda UMNO tetap mengambil langkah berhati-hati dalam menghadapi PRK P.176 Kimanis ini. Pemuda UMNO dan BN tidak boleh merasa mudah dan selesa dengan kejayaan-kejayaan yang lepas. Setiap PRK haruslah dinilai secara unik dan tersendiri dengan mengambil kira faktor calon, perbezaan lokaliti, budaya, cara hidup masyarakat setempat dan kemampuan logistik serta mobilisasi jentera yang bakal digerakkan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kawasan terbabit.
Oleh kerana ketelitian dan kajian mendalam seperti inilah yang menjadi asas kepada perancangan gerak kerja kempen di setiap PRK yang diadakan sebelum ini dan sudah pasti PRK Parlimen Kimanis ini ada keunikannya yang tersendiri. Pemuda UMNO Malaysia juga sudah pasti akan menyokong perancangan pucuk pimpinan UMNO Pusat dan UMNO Sabah, khususnya Pemuda UMNO Sabah untuk menghadapi PRK Parlimen Kimanis yang mempunyai 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan jumlah 69 saluran.
Cabaran PRK Parlimen Kimanis ini mengingatkan saya akan bait-bait lagu Bangkitlah Pemuda yang diperkenalkan sewaktu Perhimpunan Agung Pemuda UMNO baru-baru ini.
Wahai para pemuda maralah kehadapan,
Kerahkanlah tenagamu dan juga fikiran,
Korbankanlah hartamu sekalipun jiwa raga,
Bersama pertahankan negara yang tercinta.
Perjuangan Pemuda UMNO untuk bangkit kembali agar UMNO kembali diterima rakyat harus diteruskan. Walaupun mungkin ada dalam kalangan ahli Pemuda UMNO yang terpaksa merangka semula cuti-cuti bersama keluarga pada akhir tahun ini termasuklah saya sendiri, saya percaya pengorbanan kecil demi untuk mengembalikan Malaysia kepada acuan asalnya ini berbaloi demi agama,bangsa dan negara.
*Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!