Kuasa pengguna telah dikembalikan
HUJUNG minggu lalu, saya pergi membeli tingkap (window shopping haha) di sebuah pasar raya antarabangsa. Ketika tawar menawar, oleh kerana promoter di bahagian makanan itu peramah orangnya, perbualan kami melarat hingga hal kempen BMF atau Buy Muslims’ First. Katanya, apabila kempen BMF begitu kencang hebahannya, jualan di pasar raya khususnya bahagian makanan memang terjejas.
Pelanggan Muslim kelihatan berhati-hati ketika membeli-belah. Ramai pelanggan mengambil masa membelek pakej barangan. Ada juga pelanggan yang terus bertanya kepadanya jenama yang diingini. Kebanyakan yang bertanya itu adalah pengguna Muslim.
Namun, katanya lagi, untuk sesetengah barangan, pelanggan Muslim tidak bertanya atau tercari-cari, sebaliknya mereka terus membeli walaupun produk itu tidak dikeluarkan oleh orang Muslim. Jenama minuman coklat terkenal, mi segera dan minuman kordial adalah antara jenama yang tidak terjejas dengan kempen BMF.
Selepas bersembang, saya menyusur ke rak-rak barangan dapur. Saya ke bahagian minyak masak. Terpandang sebuah jenama minyak masak yang kerap menjadi produk pilihan tatkala kempen BMF bersemarak beberapa bulan lalu. Harganya RM18.60! Saya toleh dan belek sebuah jenama terkenal yang selalu dibanding-bandingkan dengan jenama minyak masak BMF itu. Harganya pula RM15.40.
Lantas saya tertanya dalam hati, mengapa pula harga minyak masak Muslim itu lebih mahal sekarang? Walhal ketika kempen BMF sedang hangat, minyak masak Muslim itu berharga jauh lebih murah daripada harga minyak masak keluaran bukan Muslim.
Perasaan tidak puas hati mula timbul di hati saya. Apakah produk Muslim ini menaikkan harga kerana hendak untung? Mentang-mentang ia jenama yang terkenal kini, maka kenapa dia ambil kesempatan? Timbul pula pertanyaan, mungkin jenama pesaing buatan bukan Muslim itu menurunkan harganya supaya dapat menawan hati pelanggan. Yang menjadi pilihan mula menaikkan harga kerana mahu cepat untung. Yang tidak menjadi pilihan menurunkan harganya untuk menawan semula pelanggan. Fikiran prasangka mula bersarang di minda saya.
Namun, apabila terfikir bahawa harga jualan itu terletak di tangan pihak pengurusan pasaraya, saya pun rasa, barangkali harga produk bukan Muslim itu diturunkan untuk menghabiskan stok. Apabila stoknya habis dan ditambah, maka baharulah harga berlainan akan ditawarkan. Menjelang tahun hadapan, apabila wujud a levelled playing field, kita akan lihat harga siapakah yang lebih murah. Pada ketika itu produk itu dan juga produk-produk yang lain keluaran Muslim dan bukan Muslim akan benar-benar bersaing dari segi harga.
Apakah yang kita peroleh daripada fenomena ini? Samada kita sedar atau tidak, kini baharulah kita dapat kembalikan konsep bahawa market force iaitu permintaan penggunalah yang menentukan harga pasaran. Selama ini terminologi market force seolah-olah bermaksud kuasa pasaran yang menjadi hak mutlak pengedar. Selama ini, pihak pengedarlah yang force market supaya mengikut besarnya tembolok mereka!
Dengan adanya BMF bilamana para pengguna membuat keputusan untuk memilih produk yang mereka inginkan, ia melariskan produk keluaran Muslim dahulu dan kini melariskan juga produk bukan Muslim. Tetapi, harganya sudah turun apabila hak menentukan market force itu dikembalikan kepada pengguna.
BMF ini adalah sebuah kempen yang benar-benar melatih para pengguna untuk berasa bahawa merekalah raja dan bukannya hamba. Sebagai pengguna, mereka boleh bertindak sepakat untuk memaksa pihak pengedar meletak harga yang patut dan bukannya catut. Mereka bukan lagi memilih produk semata-mata kerana kekuatan penjenamaannya, sebaliknya melihat kepada siapakah pembuatnya.
Maknanya para pengguna pada hari ini membelek sesebuah produk akan meneliti lima aspek. Pertama, pada jenamanya. Kedua, pada isi kandungannya. Ketiga, pada tarikh luputnya. Keempat, harganya dan kelima pula siapakah pembuatnya.
Di sebalik apa yang berlaku dalam kempen BMF ini, ia telah menyatukan kita semua sebagai pengguna. Pendek kata, kuasa pengguna telah dikembalikan. Ini amat sihat untuk ekonomi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!