Sindiket tipu pelaburan: Warga China ditangkap di Perak

Seramai 32 warga China termasuk dua wanita dipercayai terbabit aktiviti dalam talian ditahan dalam serbuan di Bandar Meru Raya, semalam.
Seramai 32 warga China termasuk dua wanita dipercayai terbabit aktiviti dalam talian ditahan dalam serbuan di Bandar Meru Raya, semalam.
A
A
A

IPOH - Jabatan Imigresen Perak menumpaskan sindiket penipuan pelaburan dalam talian membabitkan warga China di sebuah premis di Bandar Meru Raya di sini semalam.

Dalam serbuan di premis tiga tingkat kira-kira jam 4.30 petang itu, seramai 32 warga China termasuk dua wanita berusia lingkungan 18 hingga 41 tahun ditahan.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, siasatan awal mendapati kesemua mereka terlibat menjalankan aktiviti atas talian dengan menjadikan premis itu sebagai pusat panggilan.

"Ketika serbuan mereka sedang leka menjalankan aktiviti berkenaan tetapi cuba melarikan diri dengan melompat pagar premis tersebut sebaik menyedari kehadiran pegawai operasi.

"Ketangkasan pegawai yang mengepung kawasan premis terbabit berjaya mematahkan cubaan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi disertai 28 pegawai penguat kuasa itu berjaya merampas 37 komputer riba, 66 unit telefon bimbit, modem internet dan router.

No Image Caption

"Turut dirampas 71 keping kad pengeluaran wang automatik (ATM) pelbagai jenis bank, 21 kad pengenalan diri China, sebuah mesin pembaca ATM/kad debit, 7 kad sim baru dan sejumlah mata wang asing seperti Ringgit Malaysia, Yuan, Peso, Hong Kong USD dan Euro.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(b) kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa," katanya.

Menurutnya, seorang warga tempatan turut ditahan atas kesalahan melindungi warga asing tanpa pas yang sah.

Kamalludin berkata, operasi itu yang ketiga dilaksanakan Jabatan Imigresen Perak sejak 9 Disember lalu membabitkan 137 tangkapan warga China.

"Kita yakin dapat mengesan dalang aktiviti ini menerusi pemantauan dan operasi berterusan. Justeru, orang ramai diminta menyalurkan maklumat dan membuat aduan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut saluran betul," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!