'Mr Smile' dilantik PM baharu Korea Selatan
SEOUL - Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in hari ini melantik bekas Speaker Parlimen yang dikenali sebagai Mr Smile sebagai Perdana Menteri baharu negara itu.
Keputusan dibuat selepas pelantikan anggota Kabinet terdahulu mencetuskan skandal rasuah dan protes besar-besaran.
Penggubal undang-undang selama enam penggal dan bekas Menteri Perdagangan, Chung Sye-kyun dilantik berikutan sikap lemah lembutnya.
Menurut laporan tempatan, beliau juga dipilih sebagai Ahli Parlimen paling sopan sebanyak enam kali.
"Beliau sering mengamalkan politik dengan cara mendengar, menilai melalui dialog dan berkompromi sesuai dengan keperibadiannya yang sangat mesra serta lemah lembut," kata Jae-in.
Oktober lalu, Menteri Keadilan, Cho Kuk yang juga pilihan pertama Jae-in dipaksa meletak jawatan hanya sebulan selepas pelantikannya kerana didakwa memberi keistimewaan akademik kepada anak-anaknya.
Skandal tersebut mencetuskan bantahan menentang Cho Kuk dan membawa kepada permohonan maaf Presiden kerana mewujudkan konflik dalam kalangan rakyat. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!