Hakisan hampiri rumah penduduk

Tanah runtuh yang berlaku di Kampung Felda LBJ.
Tanah runtuh yang berlaku di Kampung Felda LBJ.
A
A
A

SEREMBAN - Hakisan tanah yang berlaku di Kampung Felda LBJ Jalan Kekwa di sini membimbangkan apabila tebing tanah berdekatan rumah penduduk mula runtuh.

Seorang penduduk, Abd Rahim Omar, 54, berkata, jarak antara rumahnya dengan tebing runtuh itu hanya satu meter sahaja.

Menurutnya, ruang bawah dapur rumahnya telah 'kosong' dan boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja.

"Memandangkan sekarang musim hujan, laluan air bawah tanah makin laju dan turut membawa tanah di saluran bawah sehingga terhakis.

"Masalah hakisan tanah dan tebing runtuh ini berlaku sejak 10 tahun lalu namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian, dua wakil rakyat sudah dimaklumkan mengenai perkara ini tetapi kita masih menanti jawapan," katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Abd Rahim menunjukkan antara kawasan tebing di belakang rumahnya yang runtuh di Kampung Felda LBJ semalam.
Abd Rahim menunjukkan antara kawasan tebing di belakang rumahnya yang runtuh di Kampung Felda LBJ semalam.

Abd Rahim berkata, selain rumahnya, tanah milik beberapa penduduk kampung di Felda LBJ ini juga runtuh.

"Saya sangat berharap sebelum berlakunya perkara yang tidak diingini masalah ini dapat diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

"Sekurang-kurangnya baiki hakisan tebing tanah dulu kerana jarak dengan rumah sangat dekat," katanya.

Katanya, dia merayu kepada kerajaan negeri supaya membantu mempercepatkan kerja-kerja pembaikan demi keselamatan semua.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Labu, Ismail Ahmad berkata, pihaknya telah maklum mengenai masalah ini dan sedang menantikan peruntukan pada bajet akan datang.

"Kos untuk membaiki kawasan terjejas ini agak tinggi, kita tunggu bajet 2020. Insya-ALLAH kita akan dahulukan kerja-kerja membaiki kawasan ini sebaik sahaja terima peruntukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!