Politik negara mengalami pelbagai cabaran
SHAH ALAM - Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita melangkah ke 2020. Tahun yang dinanti-nantikan sejak Tun Dr Mahathir Mohamad mula melancarkan Wawasan 2020 pada 1 Mei 1991.
Namun apabila kembali menyandang jawatan Perdana Menteri bagi kali kedua, Dr Mahathir pada Mei lalu menetapkan sasaran baharu untuk Malaysia menjadi negara maju dan contoh kepada dunia.
Antaranya menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). WKB 2030 ialah satu rangka tindakan kerajaan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tempoh 2021 hingga 2030.
Begitu pun, sebelum WKB 2030 bermula sudah pasti kita berharap 2020 dapat memberi harapan baharu dan suhu panas politik berkurangan meskipun ada jangkaan berlaku kejutan dalam arena politik tanah air.
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, politik negara pada tahun 2020 akan mengalami pelbagai era cabaran.
Menurutnya, ini berikutan dengan kemelut dalaman yang berlaku dalam parti-parti politik yang bergabung dengan PH dan juga gabungan parti-parti politik pembangkang di negara ini.
"Antara cabaran yang dijangka akan dihadapi oleh persekitaran politik pada tahun 2020 ialah mengenai isu peralihan pucuk pimpinan tinggi negara.
"Yang mana Dr Mahathir dilihat akan meneruskan strategi untuk memastikan bahawa peralihan kepimpinan nanti dapat dilaksanakan dengan baik.
"Ia bagi memenuhi matlamat penyelesaian pengurusan politik negara sebelum Mesyuarat Asia Pacific Economic Cooperation (APEC) tahun depan," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata, sejajar dengan pengakhiran Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) juga akan menyaksikan pencapaian keseluruhan sosio-ekonomi negara sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia ke-12 nanti.
Justeru, keseimbangan politik berasaskan kepada pelan strategik kerajaan PH harus dapat dimeterai dalam kalangan parti di bawah kerajaan PH.
Katanya, itu termasuk mengurang dan mengetepikan isu isu polemik sesama parti dalam kerajaan bagi meningkatkan kesedaran rakyat dan pelabur terhadap kestabilan negara.
"Cabaran utama dihadapi parti parti politik berkisarkan kepada keupayaan kepimpinan parti untuk mengharungi dilema-dilema yang wujud daripada isu perpaduan parti, isu ekonomi negara dan masa depan politik negara.
"Keadaan yang sangat bergantung kepada kesepakatan kerjasama politik dalam kalangan parti parti politik gabungan dalam PH dan dalam pembangkang," katanya.
Menurutnya, polemik peralihan kepimpinan Perdana Menteri dilihat akan memberi tekanan kepada parti parti politik untuk merancang dan membuat penyesuaian terhadap isu tersebut.
Sementara polemik kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula katanya, akan banyak bergantung kepada strategi untuk menyatukan kem Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kem timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memberi suatu polemik berterusan kepada PKR.
Katanya, MCA pula dilihat berusaha untuk menerima piagam kerjasama UMNO dengan Pas menerusi pakatan Muafakat Nasional yang sedikit sebanyak merubah agenda politik BN untuk menambat hati para pengundi.
"Tambahan pula, tahun 2020 dianggap penting dalam penyusunan strategik agenda politik negara.
"Selain daripada pelan peralihan pimpinan tertinggi negara ialah kemungkinan persepakatan parti parti politik kerajaan PH akan diuji apabila siri PRK (pilihan raya kecil) yang akan dilaksanakan.
"Bermula dengan PRK Kimanis, Sabah, Januari tahun depan akan memberikan penilaian dan maklum balas rakyat terhadap pentadbiran kerajaan PH yang berusia tiga tahun nanti, berkemungkinan juga akan berakhir dengan persiapan menjelang PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15).
"Oleh itu, lebih banyak penyusunan strategik untuk memulihkan masalah dalaman parti dan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap pencapaian kerajaan PH adalah menjadi suatu keutamaan," ujarnya.
Selain itu, katanya, isu-isu nasional melibatkan kepentingan kaum di negara ini akan terus disuarakan oleh parti parti politik tertentu, sebahagiannya akan menimbulkan konflik dan kontroversi berterusan sekiranya kerajaan tidak dapat membendung hal-hal sedemikian.
"Ia akan membangkitkan hal-hal dan kepentingan rakyat di negara ini dan seterusnya akan menguji perpaduan kaum yang termeterai dalam Dasar Sosial Negara.
"Selain daripada itu juga, pelan strategik kerajaan berteraskan kepentingan politik negara akan diuji dengan pelaksanaan Dasar Kemakmuran Bersama yang diharapkan dapat memanfaatkan rakyat Malaysia dari segi pencapaian ekonomi dan sosial di negara ini.
"Persoalannya ialah adakah pelan peralihan kepimpinan tertinggi negara itu akan terlaksana mengikut ketetapan yang telah dimeterai oleh Dr Mahathir dan Anwar?" soalnya.
Dr Syed Agil turut mempersoalkan apakah signifikasi cabaran dalam PRK-PRK akan datang kepada keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan PH?
"Mampukah parti-parti politik dalam kerajaan PH bangkit membina suatu permuafakatan lebih mantap dan menjanjikan persekitaran, iklim politik negara yang lebih baik dan mampu menarik minat pelabur ke negara kita terutamanya dalam negara akan menyambut TMM2020 tahun depan?
"Inilah yang harus difikirkan dan dijadikan ukuran kepada anjakan paradigma politik negara pada tahun akan datang," katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff juga menyifatkan tahun 2020 adalah tahun mencabar.
Menurutnya, 2020 bakal menjadi tahun mencabar untuk Malaysia kerana ekonomi global kekal merudum, perang tarif AS-China yang belum selesai, Brexit dan juga ketidaktentuan harga komoditi serta nilai mata wang RM berbanding Dolar AS.
Selain itu, katanya, isu dalaman seperti hutang kerajaan dan isi rumah yang tinggi, kos sara hidup dan harga rumah yang meningkat, gaji pekerja dan indeks Kuala Lumpur Composite Index (KLCI) yang rendah.
"Ini menyebabkan kerajaan perlu serius dan komited dalam merencanakan polisi dan dasar yang bakal merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama.
"Oleh itu, sebarang gangguan dan kemelut dalam politik negara sememangnya tidak harus berlaku atau sekurang-kurangnya diminimumkan," katanya.
Beliau berkata, apa yang penting ialah untuk kerajaan dan juga media mengurangkan perbincangan isu-isu politik yang remeh-temeh dan lebih memfokuskan kepada penerangan berkaitan isu-isu rakyat dan segala pelaksanaan projek-projek pembangunan yang sedang dilakukan.
"Ini penting kerana sebenarnya banyak projek pembangunan telah dan sedang dilakukan tetapi rakyat seolah-olah tidak sedar atau maklum atas usaha kerajaan selama ini kerana sering ditayangkan mainan politik yang tidak habis-habisan.
"Jika rakyat didedahkan dengan berterusan atas segala usaha kerajaan untuk memakmurkan rakyat dan ekonomi negara, sudah pasti sokongan rakyat akan diraih dan permainan politik yang tidak membawa faedah akan ditolak mentah-mentah oleh semua," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!