Boleh buka siasatan dan bicara semula: Penganalisis jenayah
SHAH ALAM - Akuan bersumpah (SD) terbaru yang ditandatangani Cif Inspektor Azilah Hadri berhubung dakwaan pembabitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu boleh digunakan dalam siasatan dan perbicaraan semula.
Penganalisis Jenayah, Datuk Akhbar Satar bagaimanapun berkata, kekuatan SD itu bergantung kepada kebenaran fakta.
"Maklumat baharu dalam SD boleh digunakan untuk membantu penyiasat mengumpul bukti atau petunjuk baharu dan membuktikan jika terdapat kebenaran dalam kandungan SD tersebut," katanya.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan bahawa Azilah, salah seorang daripada dua bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman mati mendakwa Najib terbabit dalam pembunuhan itu.
Azilah yang sedang menunggu hukuman gantung sampai mati di penjara Kajang menuduh Najib dan Razak Baginda mengarahkan pembunuhan wanita Mongolia itu setelah meyakinkannya bahawa wanita berkenaan adalah perisik asing yang mengancam keselamatan negara.
SD tersebut difailkan bersama dengan afidavitnya untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan dan memohon perbicaraan semula.
Bagaimanapun tegasnya, kedua-dua SD perlu dilihat, disemak faktanya jika terdapat percanggahan dan perlu kesahihan dari bukti secara lisan atau dokumentari.
Katanya, polis boleh melihat perbezaan antara kedua-dua SD berbanding bukti yang telah mereka kumpulkan semasa siasatan kes pembunuhan itu sebelum ini.
"Mereka harus meneliti lebih lanjut untuk mengesahkan kebenaran SD dengan mana-mana bukti sokongan baharu sama ada dari bukti lisan atau dokumentari.
"Ia bukan soal bermotifkan politik atau tidak, tetapi menyiasat tuduhan yang dibuat secara profesional tanpa prejudis," katanya.
Apabila ditanya kemungkinan kesukaran pihak berkuasa memanggil saksi sekiranya perbicaraan semula perlu dilakukannya katanya, perkara itu tidak menjadi masalah kerana kebanyakan saksi bagi kes pembunuhan itu berada dalam negara kecuali mereka telah berhijrah atau meninggal dunia.
"Bagaimanapun jika SD terbaru ini ada unsur lain, ia hanya membuang masa polis dan menyalahi undang-undang. Sebab kita tidak tahu, semasa akuan pertama itu, dia ikhlas atau tidak, adakah dia mendapat tekanan, terima rasuah (wang) ataupun diugut.
"Sama juga dengan SD baharu ini, adakah juga situasi sama dialami. Ini merupakan jenayah berprofil tinggi, jadi penting untuk kita mencari kebenaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!