Tindakan sebar surat hanya undang salah faham: Shahidan
SHAH ALAM - Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan tindakan pihak yang menyebarkan surat Lembaga Disiplin UMNO sehingga mewujudkan salah faham terhadap bekas Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menurutnya, isu itu selesai selepas penjelasan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Beliau berkata, surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin UMNO itu lebih bersifat peribadi dan tidak sepatutnya didedahkan kepada umum.
“Saya hairan kenapa ditularkan. Kes disiplin, peribadi seseorang itu kenapa mesti diviralkan surat sehingga jadi perbincangan.
“Kalau dihantar kepada Hishammuddin, mengapa dihebohkan satu dunia. Siapa yang heboh?
‘Mereka nak siasat, siasatlah. Masalah besar sekarang ini, orang ingat dah selesai. Hal ini lebih menyebabkan salah faham,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai isu melibatkan Hishammuddin yang berdepan siasatan Lembaga Disiplin UMNO atas tuduhan melanggar Perlembagaan dan tata etika parti.
Ahli Parlimen Arau itu juga berkata, tidak perlu surat tunjuk sebab terhadap Hishammuddin jika perkara itu dianggap selesai namun terpulang kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk melakukan siasatan.
“Saya rasa tidak wajar mereka berbuat demikian. Kalau kata dah selesai, selesailah. Kalau nak siasat, siasatlah. Tiada masalah.
“Perkara ini bukan isu berat untuk dibincangkan, bukan perbincangan pintu belakang, cuma minta peruntukan untuk kawasan masing-masing,” jelasnya.
Surat yang tersebar itu ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong memberi penjelasan pada 26 Disember ini.
Hishammuddin didakwa melanggar Fasal 20.8 (b), (c) dan (f) Perlembagaan UMNO dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2, 3.1.4 dan 3.1.6 Tataetika Ahli UMNO.
Jika didapati benar, Hishamuddin boleh dihukum di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!