Pelajar maut, kembarnya cedera
BACHOK - Seorang remaja lelaki yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas terjatuh dari motosikal dan dilanggar sebuah kereta di Jalan Beris Kubur Kamal, Pauh Sembilan di sini, hari ini.
Muhammad Farhan Na’fan Faiz, 17, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang turut dibonceng pasangan kembarnya Muhammad Faqih mengelak sebuah kereta di laluan sama kira-kira jam 7.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kedua-dua pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Agama (Arab) Muhammadiah, Beris Panchor itu dari Kampung Tok Jawa menaiki motosikal ke sekolah.
"Selepas memotong motosikal rakan, mangsa cuba membrek motosikalnya untuk mengelak terlanggar kereta dari arah sama tapi pedal breknya patah lalu motosikalnya melanggar bahagian tepi belakang kereta terbabit sehingga mereka terjatuh di laluan bertentangan,” katanya.
Menurutnya, Muhammad Faqih hanya cedera ringan dan dibawa ke klinik kesihatan berhampiran manakala kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat Muhammad Farhan pula dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!