'Banjir terburuk di Jeli selepas enam tahun'
JELI - Kami hanya mampu menyelamatkan diri sendiri kerana air memasuki kawasan rumah dengan cepat sehingga kami terperangkap, kata penduduk Kampung Bukit Perawas, Ayer Lanas, di sini yang berdepan situasi banjir sejak semalam.
Menurut Abdullah Ibrahim, 62, hujan yang berlarutan sejak jam 9 malam menyebabkan lebih 10 buah rumah di kampung berkenaan ditenggelami air.
Katanya, hanya dalam masa tiga jam, air mula masuk ke bahagian rumah dan penduduk kampung yang terkesan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas.
"Kali terakhir kami berdepan situasi banjir seperti ini pada 2013 dan bah kuning 2014, kami tidak terkesan.
"Ia satu situasi yang amat mengejutkan dan pada jam 1.30 pagi, kami berpindah. Semua harta benda ditenggelami air.
"Setakat jam 10 pagi ini, air sudah mula surut namun perlahan. Harap, cuaca pada hari ini lebih baik agar keadaan pulih lebih cepat," katanya.
Sementara itu, lebih 50 kakitangan awam termasuk staf di Hospital Jeli terkandas apabila jalan utama di Ayer Lanas ditenggelami air sejauh 200 meter.
Menurut Che Azlan Che Dir, dia dalam perjalanan dari rumahnya di Tumpat, namun terkandas di laluan terbabit.
"Buat masa ini, kami masih belum dapat melintasi laluan itu kerana air masih di paras yang tinggi dan tiada laluan alternatif lain," katanya lagi.
Sejak jam 12.30 malam tadi, 10 PPS telah dibuka iaitu Dewan Kesedar Sungai Satan, Dewan Kesedar Lakota, Masjid Gemang, Sekolah Kebangsaan (SK) Kalai, SK jeli 1, SK Legeh dan SMK Ayer Lanas melibatkan 513 buah keluarga iaitu seramai 1,265 mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!